CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1888|Reply: 1

[Sarawak] Kebakaran di Kampung Wireless Miri, mangsa tak sempat jamah sarapan

[Copy link]
Post time 10-3-2023 10:30 PM | Show all posts |Read mode


Keadaan rumah yang musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Wireless, Miri, pagi Jumaat.
MIRI: Sebuah keluarga tidak sempat menjamah sarapan yang sedang disediakan lantas lari bertempiaran menyelamatkan diri setelah rumah pusaka berusia lebih daripada 50 tahun yang didiami mereka terbakar dalam kejadian di Kampung Wireless, di sini pagi Jumaat.

Mangsa, Norma Bakar, 42, ketika menceritakan detik-detik cemas terbabit berkata, kejadian kebakaran kira-kira jam 7 pagi itu berlaku begitu pantas sehinggakan keluarganya tidak sempat menyelamatkan harta benda di dalam rumah.

“Sebelum kejadian, saya sedang sibuk memasak menyiapkan sarapan untuk suami dan anak-anak, lalu kemudiannya terkejut mendengar penduduk sekitar berteriak 'api! api!'.

“Kemudian saya terus membuka pintu rumah dan terkejut melihat api yang marak sedang membakar rumah jiran bersebelahan rumah saya.  



Anni (kiri) bersama keluarganya di PPS Dewan Serbaguna Kampung Lereng Bukit menunggu untuk dokumentasi dari pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Apa yang saya fikirkan ketika itu adalah untuk menyelamatkan nyawa sahaja, saya dan suami berlari membawa anak-anak keluar daripada rumah dengan segera dan selamat,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Mangsa Kebakaran Kampung Wireless di Dewan Serbaguna Kampung Lereng Bukit, di sini.

Norma memberitahu, ketika kejadian angin begitu kuat sehingga mengakibatkan api merebak dengan cepat ke rumah-rumah bersebelahan.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Anni Juinie, 54, berkata, selepas mendengar teriakan penduduk menyatakan ada kebakaran yang disyaki beliau mendengar bunyi tong gas meletup, menyebabkan mereka sekeluarga bergegas keluar menyelamatkan diri tanpa sempat membawa barang-barang peribadi.

“Saya masih tidur ketika itu dikejutkan anak mengetuk pintu bilik dan memberitahu ada kebakaran berlaku, lalu kami terdengar bunyi kemungkinan tong gas meletup, kemudian bergegas keluar dari rumah.

“Situasi ketika kejadian sangat kucar-kacir kerana semua keluar menyelamatkan diri sehinggakan kami tidak sempat membawa keluar harta benda di dalam rumah,” ujarnya dalam nada sedih.

Dalam pada itu, maklumat Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, kebakaran terbabit mengakibatkan seramai 80 penghuni daripada 12 keluarga yang mendiami sembilan rumah hilang tempat tinggal.

“Kebakaran mengakibatkan sembilan buah rumah setingkat jenis tidak kekal berstruktur kayu terbakar dimana enam buah rumah musnah sepenuhnya, dua buah rumah terbakar 50 peratus dan sebuah rumah terbakar 20 peratus.

“Kebakaran tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan kesemua mangsa telah dipindahkan ke Dewan Serbaguna Kampung Lereng Bukit.

PGO memberitahu, tiga balai iaitu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral, BBP Lopeng dan BBP Lutong terlibat dalam usaha memadamkan kebakaran dengan kekuatan keseluruhan 23 anggota.

“Operasi dimulakan dengan BBP Miri Sentral membentangkan satu aliran 800 kaki, dua ‘dividing breeching’ dengan tiga pancutan di sebelah kiri dari sumber air dari jentera dan pili bomba.

“BBP Lopeng membentang satu aliran 800 kaki, dua ‘dividing breeching’ dengan tiga pancutan nozel di sebelah kanan sumber air dari jentera dan pili bomba.

“Sementara bot nelayan dengan pam angkut dua aliran dengan dua nozzle menggunakan sumber air sungai membuat pemadaman dari sebelah tebing sungai,” jelasnya.



Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 10-3-2023 10:34 PM | Show all posts
9 rumah di Kampung Wireless Jalan Permaisuri Miri musnah terbakar pagi tadi



Keadaan kebakaran besar yang memusnahkan sekurang-kurangnya sembilan buah rumah di Kampung Wireless, Miri.

MIRI: Sebanyak sembilan buah rumah di Kampung Wireless Jalan Permaisuri, di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku pagi pada Jumaat.

Maklumat awal dari Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kebakaran terbabit kira-kira jam 7.15 pagi.

“Dianggarkan sembilan buah rumah jenis tidak kekal berstruktur kayu musnah dalam kebakaran ini dimana enam rumah musnah 100 peratus, dua buah rumah terbakar 50 peratus manakala sebuah rumah terbakar 20 peratus.



Anggota bomba masih menjalankan operasi mengawak dan memadam kebakaran.

“Kebakaran menjejaskan kira-kira 80 orang penghuni daripada 12 keluarga yang menduduki rumah terjejas terbabit,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

PGO memberitahu kerja-kerja mengawal dan memadam kebakaran rumah masih dijalankan di lokasi kejadian oleh tiga balai bomba iaitu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral, BBP Lopeng dan BBP Lutong dengan kekuatan 23 pegawai bomba.

“Pasukan pemadaman bertindak membentangkan dua aliran 800 kaki, enam nozel sumber air dari pili bomba berhampiran.

“Pemadaman juga turut dibantu menggunakan pam angkut dan kapal nelayan milik persendirian penduduk kampung dengan satu aliran dua nozel,” ujarnya.






Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 01:39 PM GMT+8 , Processed in 0.075678 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list