|
Jaja Iliyes 'lambat panas'
Biarpun kurang dikenali, namun ia tidak memberi kesan kepada Jaja, malah tetap melakukan setiap tuntutan kerja sebaiknya. - Foto IG Jaja Iliyes
KUALA LUMPUR: Tujuh tahun bergelar pelakon, nama Jaja Iliyes kurang dikenali biarpun membintangi puluhan drama televisyen (TV).
Antara drama yang pernah menaikkan namanya termasuklah 7 Hari Mencintaiku, namun tetap gagal mengangkat namanya untuk dikenali sebaris dengan pelakon popular lain.
Jaja atau nama sebenarnya, Siti Hajar Iliyes berkata ia tidak memberi kesan kepadanya, malah tetap melakukan setiap tuntutan kerja sebaiknya.
Terbaharu, Jaja membintangi filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang berbangga filem pertama lakonannya di bawah arahan pengarah Allahyarham Pitt Hanif sebelum meninggal dunia pada 2019.
Jaja membawa watak Nurul Lestari berkata, tugasnya dalam filem aksi tidak mudah memandangkan perlu banyak bermain emosi.
"Watak Nurul Lestari banyak dalam emosi antara ketakutan dan kesedihan. Jadi, saya tidak terbabit dalam aksi lasak, tetapi watak saya tetap berat kerana perlu bermain emosi.
"Jika diikutkan, saya memang suka watak berat kerana ia mencabar mental dan fizikal. Misalnya, ada adegan dikasari dan saya kena kuatkan diri agar tidak kelihatan lembik," katanya kepada BH Online.
Jaja impi watak lasak yang mampu menguji ketahanan mental dan fizikal. - Foto IG Jaja Iliyes
Namun, dalam masa sama, Jaja berkata, dia mempunyai keinginan untuk membawa watak lasak meskipun perwatakannya lemah lembut.
"Saya hanya menanti peluang. Sebelum ini, saya pernah membintangi telefilem bergenre aksi, tetapi tidaklah terlalu lasak, jadi saya tidak puas.
"Saya seronok jika berpeluang melakukannya. Tetapi, kalau nak buat filem aksi, saya kena pastikan stamina mencukupi.
"Saya kena ukur kemampuan sendiri. Memang saya ingin sangat mahu mencuba.
"Tetapi, kalau saya buat, tetapi akhirnya menyusahkan orang lain, tak elok juga. Tapi pengarah, arwah Pitt banyak beri dorongan dan percaya saya mampu melakukannya," katanya.
Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang terbitan Flying Deals Sdn Bhd dan Arie Zaharie Production dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menelan belanja RM13 juta.
Selain Jaja, ia turut dibintangi Saharul Ridzwan, Julia Farhana Marin, Adlin Aman Ramlee; Datuk Fizz Fairuz; Sabri Yunus; Kodi Rasheed; Gambit Saifullah; Aziz M Osman, Sherie Merlis dan Wanna Ali.
Jaja memulakan kerjaya lakonan selepas menyertai uji bakat Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) pada 2016.
Graduan diploma teater dan animasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu pernah membintangi drama Papa Nak Menantu, Meh Sandar Pada Aku dan Isteriku 100 Kilogram.
Sumber:https://www.bharian.com.my/hibur ... iliyes-lambat-panas
|
|