Polis menyiasat pertandingan perarakan sempena program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2023 di Setiu berikutan tindakan peserta yang membawa replika berbentuk senjata.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, siasatan awal dijalankan mendapati perarakan bersama replika senjata tersebut berlaku dalam satu program di sebuah resort di Setiu pada Jumaat.
 FB Pemuda PAS Terengganu/Daily Express
" erarakan itu adalah sebahagian daripada acara yang dipertandingkan pada program itu iaitu reka cipta bertemakan pakaian, senjata dan warisan Islam yang telah disertai oleh setiap daerah di Terengganu.
"Walaupun program itu dalam pengetahuan pihak polis, kita tidak dimaklumkan mengenai perarakan membawa replika senjata seperti itu.
"Tindakan membawa replika senjata oleh sebuah kontinjen dalam perarakan itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati dan kegusaran bagi sesetengah masyarakat, "katanya dalam satu kenyataan pada Ahad, lapor Sinar Harian.
Jelas beliau, pihak polis akan meneliti sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang berhubung perkara terbabit.
Perarakan sekumpulan Pemuda Pas bersama replika senjata ketika Himpit 2023 berlangsung pada 17 dan 18 Februari lalu mencetuskan pelbagai polemik di media sosial.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menyifatkan tindakan berarak menggunakan simbol keagamaan Islam sebagai tidak wajar kerana menimbulkan pelbagai persepsi dan kegelisahan masyarakat.
"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berpandangan perkara ini perlulah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan serta apa-apa tindakan yang berkaitan sekiranya penganjur telah menyalahi peraturan keselamatan negara," ujarnya. - CARI |