Dua beranak dilanggar motosikal di Jalan PJS 2/2 berhampiran sebuah sekolah rendah di Taman Dato Harun 2, Petaling Jaya ketika melintas jalan.
Harian Metro melaporkan, dalam kejadian 5.30 petang kelmarin, pejalan kaki wanita meninggal dunia manakala anaknya cedera ringan.
 MOTOSIKAL yang terbabit dalam kemalangan dengan dua pejalan kaki berhampiran sekolah rendah di Taman Dato Harun 2, kelmarin. FOTO ihsan polis
Mengesahkan kejadian, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 12.29 tengah malam.
"Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku jam 5.30 petang kelmarin, semasa wanita berusia 37 tahun itu bersama anaknya berusia 10 tahun melintas jalan di lokasi terbabit.
"Dua beranak itu dilanggar sebuah motosikal jenis Honda yang melalui jalan berkenaan. Pelanggaran itu menyebabkan wanita terbabit parah di kepala, manakala anaknya luka di bahagian bibir," katanya.
Mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia di hospital, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - CARI |