Etnik Rohingya didakwa kembali 'menjajah' Pasar Borong Selayang dan menjadikan sekitarnya tempat berniaga termasuklah kawasan parkir dan simpang.
Bukan perkara baru, malah masalah ini berlaku sejak bertahun yang lalu, kata Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Mohd Sophian Mohd Zain.
Mohd Sophian mendakwa Pasar Borong Selayang kini didominasi oleh warga Rohingya yang sewenang-wenangnya menjalankan perniagaan tanpa adanya tindakan tegas daripada pihak berkuasa. -Foto Sinar Harian/Video tular
"Apa yang kita kesalkan mereka ini seolah menjadikan kawasan pasar borong ini sebagai lokasi asal, bebas berniaga di mana-mana sahaja di sini termasuk di kawasan parkir kereta dan simpang.
"Bukan itu sahaja, mereka ini juga banyak yang diambil sebagai pekerja atas alasan mereka tidak kisah menerima upah yang rendah," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Tambahnya, ia satu perkara yang membimbangkan sekiranya pihak berkuasa tidak mengambil tindakan drastik kerana menjejaskan ekonomi dan peluang pekerjaan rakyat tempatan.
Ini berikutan segelintir peniaga tempatan mengambil etnik itu sebagai pekerja, dengan alasan mereka hanya meminta upah yang rendah.
"Bukan sekadar datang merampas barang meniaga semata-mata, namun tindakan tegas bermula dari akar umbi harus diambil.
"Harus diingat bahawa etnik Rohingya ini, mereka datang ke Malaysia bukan sebagai pekerja, bukan peniaga, tapi mereka ini adalah pelarian," ujarnya.
Katanya lagi, pihaknya sedia bekerjasama dalam membanteras kebanjiran warga Rohingya di kawasan ini dengan menunjukkan gerai di bawah kendalian warga Rohingya sendiri dan yang menggajikan mereka. - CARI |