|
Tupai dilatih untuk mengesan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah di bandar Chongqing, barat daya China.
Utusan memetik Oddity Central melaporkan, kaedah itu merupakan sebahagian usaha terbaharu polis dalam memerangi dadah habis-habisan.
Difahamkan, kumpulan tupai pengesan dadah pertama di China berjaya dibiakkan oleh Unit Anjing Pengesan dari Polis Biro Keselamatan Awam Hechuan, Chongqing sebagai sebahagian projek penyelidikan dan pembangunan utama republik itu.
Oddity Central
Dalam masa sama, mereka juga berusaha mencipta kaedah latihan baharu untuk haiwan pengesan dadah.
Haiwan peliharaan itu digalakkan mencari bahan terlarang dalam persekitaran yang kompleks seperti gudang atau stesen penghantaran.
“Saintis sudah lama menyedari deria bau tupai namun kaedah melatih haiwan itu ternyata tidak cukup maju sehingga kini,” jelas laporan tersebut.
Media tempatan sebelum ini melaporkan pengendali skuad anjing pengesan dari Hechuan, Yin Jin berkata, pasukannya berjaya melatih enam ekor tupai menggunakan teknologi dan kaedah latihan yang dibangunan secara dalaman.
Mereka akan bekerja bersama polis untuk membantu mengesan dadah tersembunyi dengan `membuat tanda’ di kawasan yang dikenal pasti.
Menurut laporan itu, bukan sahaja cekap seperti anjing pengesan, malah beberapa ciri seperti saiz yang kecil, lebih pantas dan keupayaan mencari di tempat tinggi menjadi kelebihan tambahan tupai. - CARI |
|