|
Kemunculan semula Fyna Jebat bersama kakaknya, Ayda Jebat menerusi program Famili Duo musim kedua baru-baru ini bukan sahaja melonjakkan kembali namanya malah turut terpalit dengan pelbagai kontroversi.
Ia susulan pengakuan Fyna atau Nur Syafinaz Jebat, 30, yang sudah bergelar isteri kedua kepada bekas pemain bola sepak kebangsaan era 90-an, Datuk Zainal Abidin Hassan sehingga mencetuskan pelbagai isu.
Foto: IG
Ini termasuk pergaduhan bersama madunya, Datin Zalina Zaini di sebuah restoran di Shah Alam sehingga ia menjadi kes polis.
Disebabkan isu itu, Fyna menerima pelbagai kecaman daripada netizen ekoran isu berkenaan.
Fyna berkata, dia mula membiasakan diri dengan pelbagai kritikan netizen mengenai kehidupan peribadinya dan cuba mengambil setiap komen baik dan buruk bagi memperbaiki diri.
"Sebenarnya, apa yang baik saya ambil dan apa tidak baik juga saya ambil untuk memperbaiki diri.
"Apa-apa pun saya mohon doa yang baik-baik untuk diri saya dan keluarga saya. Saya pun turut mendoakan yang terbaik untuk semua di luar sana," ujarnya.
Sementara itu, Fyna berkata, penampilannya menerusi Famili Duo yang berakhir pada malam Ahad lalu bukan kemunculan terakhirnya dalam bidang seni.
Sebaliknya, Fyna memberitahu Zainal memberikan lampu hijau untuknya meneruskan karier dalam bidang nyanyian yang ditinggalkan sebelum ini.
"Alhamdulillah keluarga, suami dan peminat semua memberi sokongan luar biasa untuk saya sepanjang bertanding. Suami pun memang menyokong sahaja apa yang saya buat, asalkan itu yang terbaik untuk saya.
"Dia juga tak kisah kalau saya mahu menyanyi semula dan setakat ini dia tidak meletakkan sebarang syarat untuk saya kembali aktif menyanyi," katanya.
Untuk rekod, Fyna dan Ayda muncul sebagai naib juara Famili Duo musim kedua dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM20,000.
Pasangan adik-beradik ini menyanyi lagu Pada Syurga Di Wajahmu nyanyian Nash serta lagu medley Lets Get Loud (Jennifer Lopez) dan Oppa Gangnam Style (PSY) pada pentas akhir pertandingan tersebut. -CARI
Sumber: mStar Online
|
|