Keputusan pertandingan akhir Famili Duo akhirnya berpihak kepada pasangan adik-beradik Zaki Yamani dan Yamani Abdillah yang dinobatkan sebagai juara pada pertandingan yang berlangsung di Plaza Alam Sentral, malam tadi.
Memetik Kosmo, kemenangan tersebut melayakkan anak-anak Raja Pop Jamal Abdillah itu membawa pulang ganjaran lumayan berupa wang tunai berjumlah RM100,00.
Zaki dan abangnya menyampaikan medley Potret dan Pelukan Angkasa untuk set pertama, disusuli medley lagu Hutang, Bunga dan Kau Pun Sama bagi segmen kedua.
Pasangan The Jebats iaitu Ayda dan Fyna Jebat yang selama ini diramal juara hanya akur di tempat kedua dan pulang membawa hadiah RM25,000, manakala Wani Kayrie dan Bella Astillah (sepupu) berada di tangga ketiga dengan hadiah bernilai RM15,000.
Pasangan duo sepupu, Sissy Imann dan Naib Daniel tidak berputih mata apabila tetap layak di tempat ke empat dengan hadiah wang tunai sebanyak RM10,000.
Dari awal pertandingan, seramai tujuh pasangan dipilih untuk bertanding dalam program realiti kekeluargaan selama lapan minggu tersebut, namun tiga daripada duo terbabit tersingkir pada peringkat separuh akhir.
Berkonsepkan kalah mati bersaing hingga minggu ketujuh, peserta yang terpaksa akur meninggalkan pentas ialah Ara Johari dan sepupunya, Shaffiq Erwin, Sabhi Saddi dan Fareed PF K-Clique (adik-beradik) serta Siti Sairah dan Siti Saida (adik-beradik).
Persaingan Famili Duo musim yang bermula pada 18 Disember tahun lalu menyaksikan Mas Idayu dan Ajai sebagai juri tetap, manakala Janna Nick bersama Sean Lee bertindak selaku hos.
Terdahulu, Datuk Seri Siti Nurhaliza telah memberikan sokongan tidak berbelah bagi terhadap peserta pilihannya dalam Famili Duo dengan memberikan undian untuk Yamani Abdillah dan Zaki.
Perkara tersebut dimuat naik dalam InstaStory yang memaklumkan memberikan undiannya jatuh kepada anak Raja Pop Jamal Abdillah itu atas persembahan menakjubkan.
“Pusingan kedua ini memang sangat hebat. Undian Mak Iti (gelaran manja Siti) buat Zaki dan Yamani,” tulis pelantun lagu Cindai itu.
Patutlah menang, penyanyi nombor satu negara pun dah dapat jangka awal-awal lagi siapa pemenangnya dengan memberi undi kepada anak Raja Pop negara. Tahniah buat Zaki Dan Yamani dan juga semua peserta. - CARI |