Tular rakaman insiden kebakaran kedai kasut dalam pusat beli belah The Mines di Seri Kembangan, Serdang, Selangor, pada pagi Ahad.
Menurut laporan, api marak berjaya dikawal daripada terus merebak ke kedai lain pada jam 12.25 tengah hari selepas empat pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang, Bangi, Bandar Tun Hussein Onn dan Kajang dikerahkan ke lokasi jam 11.39 pagi.
Wanita ini merakam video saat pihak bomba cuba memadamkan api.
Ketika kebakaran, banyak rakaman kejadian oleh orang ramai yang berada di sekitar pusat beli belah tersebut dimuat naik di media sosial sehingga menjadi tular.
Turut merakam suasana di lokasi kejadian, seorang pelayar bernama @xylella yang menunjukkan anggota bomba kelihatan kelam-kabut ketika cuba memadamkan api.
Tangkap layar video asal yang tular.
Dalam video yang dikongsi, kelihatan nozel atau hos pemadam api seolah-olah ‘hilang kawalan’ apabila air paip keluar dengan deras dan berpusing-pusing ke kiri serta kanan.
Suatu ketika, dapat dilihat alatan tersebut terlepas dari tangan anggota bomba dan mereka nampaknya basah lencun.
Melihat keadaan itu, wanita berkenaan yang dipercayai kurang senang dengan cara dua ahli bomba tersebut mengendalikan hos pemadam api sempat merakamkan situasi getir yang berlaku depan mata sebelum dikongsi TikTok.
Jika didengar dengan teliti suara dalam video itu, wanita yang dipercayai membuat rakaman bersama seorang lagi wanita sempat ‘mengajar’ anggota bomba bagaimana untuk mengawal hos tersebut.
“Rakam, rakam! Wey apa ni? Depa (mereka) tak pernah ke (guna hos)?
“Peganglah dekat belakang tu! Orang belakang tolonglah.
“Yang seorang dekat belakang tu buat apa? Tengok saja? Dah berlari. Memang kena depa (mereka) ni tak berlatihlah tu maksudnya,” kata wanita itu.
Dalam masa kurang 24 jam, hantaran tersebut telah ditonton lebih 2 juta kali setelah disiarkan.
Menerusi rakaman pendek itu juga, pelbagai reaksi oleh netizen dapat dilihat di ruangan komen.
Pelbagai kritikan dan komen dilemparkan terhadap dua wanita itu yang mempertikai kerja-kerja dilakukan anggota bomba berkenaan.
Sehingga kini, tiada sebarang maklum balas diberikan oleh pemilik video setelah dikecam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, berkata laporan awal mengatakan kebakaran hanya membabitkan sebuah kedai kasut di tingkat satu pusat beli belah tersebut.
Norazam berkata, pasukan bomba masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kebakaran.
Sumber: mStar |