Tukang masak yang maut akibat letupan dari bungkusan diletak di atas keretanya di Pandan Indah, Ampang Jaya malam tadi, dikatakan menerima satu panggilan telefon lalu bergegas keluar menuju ke kenderaannya sebelum insiden meragut nyawa itu.
Perkara itu diberitahu rakan sekerja mangsa di sebuah restoran berdekatan tempat kejadian kepada saksi insiden letupan di Jalan Pandan Indah 12/1 yang turut dimaklumkan terdapat serpihan letupan mengandungi bateri, belerang, pisau dan alat pengecas mudah alih (power bank).
 Kereta tukang masak yang maut dalam letupan berhampiran sebuah restoran di Jalan Pandan Indah 12/1, Pandan Indah, Ampang Jaya, malam tadi.
Menurut saksi berkenaan yang enggan dikenali, dia sebelum itu singgah di stesen minyak berdekatan lokasi kejadian ketika dalam perjalanan menjemput anaknya dari rumah mentua di Pandan Indah apabila apabila terdengar bunyi letupan sangat kuat, kira-kira jam 8.45 malam.
"Bunyi letupan sangat kuat sehingga telinga saya berdengung. Saya tidak terus ke lokasi kerana bimbang ada lagi letupan. Selepas seketika, saya ke situ dan nampak mangsa dalam keadaan berlumuran darah menjerit minta tolong sebelum dibawa dengan kenderaan orang awam ke hospital.
"Berdasarkan maklumat orang awam di lokasi, terdapat serpihan letupan mengandungi bateri, belerang, pisau dan 'power bank' di situ. Saya juga dimaklumkan oleh pekerja restoran di situ, mangsa terima panggilan telefon memintanya ambil barang di luar restoran beberapa minit sebelum kejadian," katanya.
Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian pagi tadi mendapati polis sudah memasang tali pita larangan memasuki kawasan beberapa premis berhampiran restoran berkenaan dengan pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga dilihat berada di lokasi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 malam tadi, tukang masak berusia 28 tahun berkenaan dilaporkan mahu mengalih sebuah bungkusan diletakkan di atas keretanya jenis Toyota Corolla Altis di hadapan sebuah restoran di Pandan Indah.
Sebaik mangsa memegangnya, bungkusan dalam plastik itu dipercayai terus meletup, menyebabkan lelaki terbabit cedera serius pada badan dan tangan sebelum dikejarkan ke Hospital Ampang oleh orang awam, namun disahkan meninggal dunia jam 9.45 malam ketika sedang menerima rawatan.
Polis menjalankan siasatan kes terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan jenayah bunuh.
Sumber: BH Online |