Selepas menangguhkan konsert Hael Husaini Live in KL yang sepatutnya berlangsung pada 19 Februari 2023, penyanyi lagu Jampi ini hadir pula dengan berita buruk apabila mengumumkan bahawa konsert tersebut kini dibatalkan.
Menerusi satu kenyataan yang dihantar syarikat pengurusan Rocketfuel Entertainment, pembatalan konsert tersebut terpaksa dilakukan memandangkan Hael kini sedang mengalami masalah kesihatan.
IG Rocketfuel Entertainment/Hael
“Terlebih dahulu kami memohon maaf sekali lagi kepada semua bagi pihak pengurusan di atas pembatalan konsert Hael Husaini Live In KL ini.
“Kebelakangan ini tahap kesihatan Hael tidak berapa baik kerana jadual kerjanya yang terlalu padat. Setelah berbincang dengan doktor, dia dinasihatkan untuk berehat daripada segala aktiviti buat sementara waktu sehingga dia benar-benar sudah sihat,” katanya.
Selain itu, menerusi kenyataan yang sama, pihak pengurusan yang diwakili oleh Joe Saiful juga memaklumkan sudah memulangkan semula wang peminat yang membeli tiket konsert berkenaan.
“Saya faham perasaan gusar yang bakal dirasai para pembeli tiket yang sudah pun membeli tiket konsert. Saya beri jaminan bahawa setiap pembeli akan diberikan pemulangan wang yang penuh.
“Segala pengembalian wang boleh dilakukan pada laman web yang tertera dalam kenyataan media ini,” katanya.
Peminat boleh menghubungi talian Ubertickets WhatsApp Hotline 019 5881810 untuk proses pengembalian wang tiket konsert.
Untuk info, konsert berkenaan sepatutnya berlangsung pada 4 Disember lalu namun ditangguhkan kepada 19 Februari 2023 sebelum dibatalkan.
Dalam beberapa kenyataan dengan pihak media sebelum ini,Hael pernah meluahkan keterujaannya untuk beraksi dan bertemu peminat menerusi penganjuran konsert tersebut.
Malah, dia juga menganggap ia sebagai impian yang bakal menjadi kenyataan selepas 15 tahun menceburkan diri dalam dunia seni muzik.
Sumber: Utusan
|