CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 474|Reply: 0

Terangkum inti pati roh agama

[Copy link]
Post time 30-12-2022 10:39 AM | Show all posts |Read mode
Terangkum inti pati roh agama


ISLAM agama paling ke hadapan dalam aspek membina akhlak bertahap tinggi dalam kalangan umatnya. FOTO AFP


Negara kita mempunyai rakyat berbilang kaum, anutan agama dan amalan budaya. Kepelbagaian rupa bangsa itu menjadi keunikan tersendiri yang membuat setiap rakyat saling melengkapi antara satu sama lain tanpa mengira kedudukan dan bangsa.

Meskipun, negara kita mengandungi kepelbagaian bangsa dan agama, tetapi meletakkan Islam sebagai agama rasmi. Demikian juga dengan Bahasa Melayu dijadikan sebagai Bahasa Kebangsaan. Hal tersebut tertera dengan jelas dalam Perlembagaan negara. Namun demikian, Perlembagaan juga menyatakan bahawa agama dan bahasa lain diizinkan untuk dianuti dan digunapakai.

Dalam memperkemaskan dan mengutuhkan jati diri rakyat Malaysia, negara juga telah menggubal satu pewartaan berpiagam untuk dijadikan falsafah hidup, yang dikenali sebagai Rukun Negara. Peristiwa 13 Mei 1969 telah banyak mencetuskan iktibar bahawa kerukunan hidup dalam sebuah negara yang berbilang kaum seharusnya terpupuk subur dalam kalangan maysrakat.

Sebarang isu yang sensitif dan menyentuh sensitviti antara kaum perlu bijak ditangani secara berhemah oleh semua pihak, khususnya oleh pemerintah negara. Lantaran itu kehidupan rakyat jelata perlu dibugarkan dengan satu pegangan falsafah bersama yang dihayati sepenuhnya.

Bermula 1970, sebaik sahaja Peristiwa 13 Mei berakhir semua kaum dan pihak bersama-sama duduk semeja untuk bermuafakat mencari titik jalan yang berupaya menyuntik semangat kekitaan dan kebersamaan yang padu. Lalu lahirlah Rukun Negara.

Sebenarnya, inti pati Rukun Negara itu terangkum intipati roh agama yang menepati kehendak agama Islam. Lihatlah kepada rukun hidup yang pertama - Kepercayaan kepada Tuhan memberikan kita makna setiap anggota masyarakat seharusnya mempunyai kepercayaan beragama yang jelas. Dalam hal ini, setiap rakyat khususnya kita yang beragama Islam perlu menghayati ajaran Islam dengan sebaiknya sebagai panduan kehidupan.

Demikian, juga dengan penganut agama lain juga perlu hidup selari kehendak agama masing-masing. Setiap daripada rakyat seandainya patuh dan taat kepada kehendak agama, pastinya akan melahirkan satu rupa bangsa dan rupa warga yang cukup harmoni yang hidup saling memahami antara satu sama lain, sekali gus permuafakatan dan semangat kekitaan akan terbentuk.

Rukun kedua pula yang menyebut - Kesetiaan kepada raja dan negara juga menepati apa yang disarankan oleh Islam itu sendiri yang mana unsur kepatuhan dan ketaatan kepada pemimpin dijadikan antara inti pengajarannya. Setia kepada raja bermakna kita taat kepada pemimpin dan hal tersebut sememangnya sudahpun dimaktubkan dalam ajaran Islam secara nyata.

Allah mengarahkan hamba-Nya agar mentaati pemimpin sebagaimana difirmankan-Nya dalam Surah An-Nisa' ayat 59 yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan para pemimpin di kalangan kamu". Jadi, taat kepada pemerintah itu satu daripada perintah Allah kepada kita.

Demikian juga halnya dengan apa yang dididik oleh Rasulullah SAW, yang mana antara intipati pengajaran Baginda SAW kepada umatnya adalah agar sentiasa patuh dan setia kepada pemimpin. Misalnya dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang mencatatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa taat kepada pemimpin, maka dia telah taat kepadaku dan sesiapa yang menderhakai pemimpin, maka dia telah derhaka kepadaku." Malah, pada ketika yang lain, Baginda SAW menegaskan: "Kamu wajib patuhi dan setia sama ada dalam keadaan susah atau senang, suka atau duka dan walaupun merugikan kepentinganmu." (Hadis dicatatkan oleh Imam Muslim)

Manakala prinsip ketiga Rukun Negara yang berbunyi - Keluhuran Perlembagaan pula tidak lari daripada kehendak Islam. Kembali kita hayati seketika apa yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW sebaik sahaja Baginda tiba di bumi Yathrib (Madinah) yang mana satu Piagam atau perlembagaan bertulis telah digubal. Perlembagaan Madinah yang terdiri daripada 47 perkara telah dijadikan asas kepada terbinanya sebuah negara Islam yang mampu menjalankan urus tadbir negara yang berjaya dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan agama.

Berdetik daripada wujudnya Perlembagaan Madinah itulah, Rasulullah SAW bersama sahabatnya telah mengharungi kehidupan bermasyarakat dan bernegara dengan cara yang sangat bertamadun tinggi yang pada ketika itu di kawasan lain belum lagi kenal apa itu perlembagaan.

Prinsip keempat - Kedaulatan undang-undang memerihalkan berkenaan perlunya kita jalani kehidupan berasaskan kepada peraturan dan undang-undang. Walaupun, kita diberikan kebebasan dalam pelbagai aspek, namun soal akur dan patuh kepada kehendak peraturan dan undang-undang tetap perlu kita terapkan.

Usaha membina dan membangukan negara ke mercu jaya dan maju mustahil terzahir sekiranya rakyat jelata kurang menghayati prinsip keempat ini dengan mendalam kerana aspek kepatuhan kepada peraturan dan undang-umdang adalah prasyarat kepada terwujudnya suatu landskap kehidupan yang aman tenteram lagi harmoni.

Sesungguhnya, menjalani kehidupan dalam suasana penuh tenteram dan aman damai juga merupakan antara apa yang disarankan oleh Islam. Keamanan dan ketenteramanlah yang membolehkan negara Islam pertama, Madinah al-Munawarrah berjaya dizahirkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Dengan adanya kehidupan rakyat yang aman damai dalam suasana penuh keharmonianlah yang akan menjadi tonik terbaik dalam merancakkan pembangunan negara.

Prinsip kelima - Kesopanan dan kesusilaan juga merupakan aspek penting yang difokuskan oleh Islam dalam kehidupoan harian umatnya. Demikian jugalah dengan ajaran agama lain yang turut menjuruskan penganutnya agar menerapkan aspek sopan dan susila.

Islam mempiawaikan unsur akhlak yang tinggi lagi mulia sebagai syarat kepada terangkatnya seseorang umatnya menjadi hamba Allah yang terbaik. Tonggak utama ajaran Islam sebagai cara hidup yang serba lengkap dan syumul merangkumi tiga elemen  utama, iaitu akidah, syariat dan akhlak. Ketiga-tiga komponen  itu menggerakkan peranan dalam membentuk dan menyerlahkan ciri jati diri keIslaman seseorang Muslim dalam kehidupan.

Islam adalah agama paling ke hadapan dalam aspek membina akhlak bertahap tinggi dalam kalangan umatnya dan seharusnya pewartaan Rukun Negara yang kini sudahpun berusia lebih 51 tahun menjadi kayu pengukur kepada penghayatan kita kepada hidup secara harmoni dan bertamadun tinggi.

Justeru, marilah kita sebagai rakyat yang mencintai negara untuk sentiasa menghayati sepenuhnya secara mendalam setiap prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara supaya kehidupan kita menjadi lebih teratur dalam situasi harmoni dan aman damai.

Penulis Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

SumbeR:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... inti-pati-roh-agama

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-4-2024 06:53 AM GMT+8 , Processed in 0.084561 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list