|

MISBAHUDIN menunjukkan rokok seludup yang disembunyikan di lantai kontena. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Iskandar Puteri: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menggagalkan cubaan menyeludup 428,000 batang rokok ke Australia, dalam pemeriksaan sebuah kontena di Pelabuhan Johor, di Pasir Gudang, 9 Disember lalu.
Pengarah JKDM Johor, Misbahudin Parmin berkata, kejayaan itu berikutan pemeriksaan sepasukan anggota daripada Cawangan Narkotik selepas mendapat maklumat daripada ibu pejabat.
Katanya, hasil pemeriksaan rapi yang dilakukan ke atas kontena yang diisytiharkan mengandungi 20 palet tisu tandas, dapur dan tisu basah yang kononnya mahu diimport ke Australia itu, JKDM menemui ribuan kotak rokok yang disembunyikan di lantai kontena yang telah diubahsuai.
"Pemeriksaan rapi ke atas kontena berukuran 12.1 meter bersama ejen penghantaran dan wakil syarikat menemui ruangan khas di lantai kontena yang ditebuk untuk menyembunyikan 428,000 batang rokok.
"Bagi mengaburi pihak berkuasa, penyeludup bertindak meletakkan papan lapis di atas ruangan khas lantai kontena itu yang kemudiannya diletakkan 20 palet pelbagai jenis tisu sebagai bahan import dalam borang kastam.
"Ini adalah modus operandi terbaru penyeludup yang dikesan menebuk atau mengubahsuai lantai kontena bagi membuat ruang simpanan khas untuk penyeludupan.
"Susulan penemuan rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM426,000 ini, seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun yang juga wakil syarikat yang mahu menghantar kontena itu ke Australia ditahan untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Misbahudin berkata, hasil siasatan mendapati rokok yang mahu diseludup ke Australia itu dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.
Katanya, syarikat yang kononnya mengimport tisu itu juga didapati menempah awal kontena berkenaan daripada sebuah syarikat pengangkutan.
"Kontena itu kemudian diletakkan di kawasan Perindustrian SILC Gelang Patah.
"Malah syarikat itu turut dikesan membuat dua kali tempahan tisu daripada sebuah syarikat pengeluar di Puchong, Selangor," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a)Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barang tidak lulus kastam.
Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum 20 kali ganda cukai atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, mengenai kes berlainan, Misbahudin berkata, pihaknya menyita enam kontena berisi besi skrap bernilai RM380,000 yang disyaki cuba diseludup ke negara Asia Timur.
"Bertindak atas maklumat risikan, pada jam 12.30 tengah hari, 5 Disember lalu, sepasukan anggota JKDM daripada Bahagian Penguatkuasaan Sungai Pulai dibantu pihak berkuasa zon bebas Pelabuhan Klang menyita sejumlah dagangan besi skrap yang dipercayai tidak berkastam di Pelabuhan Klang.
"Hasil pemeriksaan ke atas dokumen pengikraran borang kastam dua mendapati dagangan telah diikrar sebagai bahan tembaga. Namun pemeriksaan rapi yang dijalankan mendapati kontena mengandungi besi skrap yang dipercayai tidak mempunyai permit eksport yang sah," katanya.
Menurutnya, kes disiasat Seksyen 133 (1)(a), Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135 (1)(a) akta yang sama kerana membuat pengikraran yang tidak benar dan terbabit dalam cubaan mengeksport barangan larangan bersyarat tanpa permit.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... awah-lantai-kontena |
|