|
Berkat kesabaran, penantian selama 22 tahun seorang wanita untuk mendapatkan zuriat pertama berakhir apabila dia disahkan mengandung hari ini.
Pempengaruh media sosial (influencer), Syaeirah Safian menerusi hantarannya di Facebook berkata, dia sangat mengagumi sifat kesabaran dan tawakal seorang wanita dikenali Fatimah yang pertama kali mengandung setelah berkahwin sejak tahun 2001.
Foto: Facebook
“Masya-Allah, sangat kagum dengan kesabaran dan tawakal kakak yang menetap di Taiping ini. Selama 22 tahun tidak pernah mengandung, tidak pernah keguguran dan ia bukanlah jangka masa yang sekejap.
“Di usianya kini, barulah Allah meniupkan roh zuriat buat dia. Semoga kakak sihat sehingga bersalin dan anak serta ibu selamat,” katanya yang juga seorang guru Bahasa Inggeris.
Meninjau ruangan komen, rata-rata pengguna mengucapkan tahniah kepadanya dan ada juga yang sempat mendoakan kesihatannya.
“Masya-Allah. Itulah kekuasaan Allah, dia akan memberinya pada saat kita ikhlas dengan segalanya,” komen seorang pengguna Facebook, Shazreen Thae Shine.
“Alhamdulillah, 22 tahun bukannya satu tempoh yang sekejap dan bukan calang-calang menahan perasaan, ini semua berkat kesabaran dia,” tulis Cik Yusma pula.
Seorang pengguna laman sosial Facebook, Nur Alia Athila mengucap syukur dan mendoakan agar Allah memelihara zuriatnya serta diberikan kesihatan yang baik.
“Alhamdulillah, besar darjat kesabaran kakak ini. Tidak terbayang rasanya berapa banyak titisan air mata yang jatuh, berapa banyak doa dan rintihannya kepada Allah, betapa kuat sabarnya, bertahun-tahun sabar dengan menjawab pertanyaan orang, sindiran,” ujarnya.
Hantaran tersebut meraih 444 maklum balas daripada pengguna di laman sosial Facebook setakat ini. – CARI
Sumber: Kosmo |
|