CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 330|Reply: 0

[Pulau Pinang] SWCorp mahu lahirkan lebih ramai pekerja mahir

[Copy link]
Post time 17-12-2022 05:10 PM | Show all posts |Read mode
SWCorp mahu lahirkan lebih ramai pekerja mahir

oleh MOHD ISKANDAR OTHMAN   17 Disember 2022    04:47pm






Azlan menerima sijil daripada M Noor Azman.




GEORGETOWN - Lebih ramai pekerja pengurusan sisa pepejal berkemahiran tinggi akan dilahirkan menerusi Program Pensijilan Kemahiran Malaysia yang dianjurkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bersama beberapa institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) di negara ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Datuk M Noor Azman Taib berkata, SWCorp sedang giat melaksanakan inisiatif-inisiatif baharu pensijilan kemahiran Malaysia yang mengguna pakai NOSS bidang pengurusan sisa pepejal pembersihan awam.

Menurutnya, pada masa ini SWCorp telah menjalinkan kerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam melaksanakan Pensijilan Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang pengurusan sisa pepejal pembersihan awam Tahap 2 dan 3.

"Selain USM, modul latihan kemahiran dalam bidang pengurusan sisa pepejal pembersihan awam akan mula diperkenalkan kepada dua universiti awam lagi iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bermula Januari tahun depan.


200 perantas Program Pensijilan Kemahiran Malaysia dalam bidang pengurusan sisa pepejal pembersihan awam bergambar bersama selepas selesai majlis konvokesyen yang diadakan di USM pada Sabtu.






"Kita sasarkan seramai 300 orang pelajar IPTA yang akan mengambil bahagian dalam program tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan anugerah kepada 200 orang perantis pada Majlis Konvokesyen SWCorp kali kedua di USM di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi SWCorp, Datuk Rizalman Mokhtar.

Ditanya mengenai perancangan masa depan bagi program itu, M Noor Azman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk meningkatkan tahap pensijilan dari peringkat SKM kepada Diploma.




Jelasnya, melalui perancangan itu ia sekali gus dapat meningkatkan lagi taraf sektor pekerjaan pembersihan, tangga gaji dan kebergantungan kepada pekerja asing.

Dalam pada itu, M Noor Azman berkata, SWCorp juga menjalinkan kerjasama strategik bersama Jabatan Penjara Malaysia dalam meluaskan Program Pensijilan Kemahiran Malaysia dalam bidang pengurusan sisa pepejal pembersihan awam.

"Program ini akan melibatkan 17 institusi penjara di seluruh negara dengan Pusat Latihan Sisa Pepejal (SWTC) bagi melatih seramai 300 penghuni penjara mulai Januari tahun depan," katanya.

Semenjak penubuhan SWTC pada tahun 2019, pusat latihan itu telah berjaya melatih seramai 469 orang perantis dalam kalangan pekerja syarikat konsesi dan swasta yang terdiri dari Alam Flora Sdn. Bhd. (AFSB), SWM Environment Sdn Bhd (SWMESB), E-Idaman Sdn Bhd (EISB) dan World Wide Sdn Bhd.

Sehingga kini, sejumlah tujuh program latihan kemahiran yang merangkumi tiga modul utama iaitu pengurusan sisa pepejal, pembersihan awam serta perawatan dan
pelupusan sisa pepejal ditawarkan oleh SWTC.

Modul latihan ini adalah berdasarkan NOSS yang dibangunkan oleh pakar-pakar pemain industri sisa pepejal di Malaysia.


Antara pelajar terbaik yang mendapat anugerah Program Pensijilan Kemahiran Malaysia dalam bidang pengurusan sisa pepejal pembersihan awam.






Sementara itu, beberapa perantis yang ditemui melahirkan rasa gembira dan syukur apabila diberi peluang mengikuti kursus berkenaan yang dijalankan selama lapan bulan sehingga membolehkan mereka menerima pengiktirafan SKM Tahap 2.

Pekerja E-Idaman Sdn Bhd, Azlan Arshad berkata, kursus yang dijalankan sangat membantu dalam menjalani kerja-kerja sehariannya dalam sektor pembersihan dan pengurusan sisa pepejal selama ini.

"Melalui modul yang diberikan sepanjang kursus ini membantu kami dalam menjalankan tugas yang lebih sempurna dan lengkap selain ia dapat meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja kami," katanya.

Bagi pekerja SWM Environment Sdn Bhd, Abu Hassan Dol, 50, pula, usia bukan penghalang untuk dia menimba ilmu bagi memberikan perkhidmatan terbaik dalam sektor tersebut.

Beliau yang bertugas membawa jentera berat dalam sektor pembersihan tidak menyangka berpeluang menyarung jubah konvokesyen dan mampu memperoleh sijil kemahiran selepas berjaya menghabiskan kursus berkenaan.

"Apa yang kami belajar sepanjang kursus ini memang sangat berguna dan praktikal dalam dunia pekerjaan kami.

"Syukur kerana masih berpeluang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran dan kalau ada peluang lagi saya ingin terus meningkatkan pengetahuan dan berkongsi pengalaman bersama rakan-rakan lain," katanya.




Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

26-4-2024 09:02 PM GMT+8 , Processed in 0.061245 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list