Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dipercayai hilang dalam hutan di belakang rumahnya di Kampung Temalir di sini pada Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan Norhisham Saifudin pada jam 6.17 petang.
Norhisham dipercayai hilang dalam hutan di belakang rumahnya di Kampung Temalir, Kuala Krai pada Rabu.
"Menurut dakwaan abangnya, remaja berkenaan dikatakan telah melarikan diri ke dalam hutan dan tidak dapat dikesan.
"ihak kami dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain telah memulakan operasi pencarian di sekitar kawasan hutan yang terletak 8 kilometer dari rumah mangsa," katanya dalam satu kenyataan.
Anggota bomba dengan bantuan penduduk mencari remaja lelaki yang dipercayai hilang dalam hutan di belakang rumahnya di Kampung Temalir, Kuala Krai pada Rabu.
Menurut beliau, bantuan dari Unit Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut digunakan untuk mengesan remaja berkenaan.
Terbaru, remaja itu dikatakan sudah lima hari tidak tidur sebelum kejadian Selasa lalu.
Difahamkan, mangsa hilang selepas lari ke kawasan yang perlu melalui sebuah kebun getah itu pada jam 4.45 petang.
Ibunya, Rahaida Ghani@Hassan, 49, mendakwa anak keempat daripada enam beradik itu mengalami halusinasi selepas pulang bercuti di Kuala Lumpur.
“Dia tidak dapat tidur malam dan kerap memberitahu ada budak memanggilnya sambil menunjukkan ke arah kawasan yang tidak ada siapa-siapa pun.
“Dia juga bersiap-siap untuk keluar dengan membawa beg galas dan memberitahu ada orang sedang menunggunya,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini, pada Khamis.
Ujar penoreh getah itu lagi, Norhisham kebetulan hilang pada hari sama keluarga bercadang untuk membawanya ke hospital.
“Kami tak beritahu pun nak bawa dia ke hospital. Tiba-tiba sahaja dia keluar rumah.
“Ketika dipanggil oleh abang sulungnya, dia lari ke dalam hutan dan dikejar sejauh 100 meter namun terus hilang ke hutan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
|