Sebuah rakaman tular di media sosial memaparkan aksi peniaga minuman yang rancak menari di hadapan pelanggan yang menunggu pesanan dibuat.
Berdasarkan video berkenaan, peniaga lelaki yang berada di atas 'foodtruck' ligat menari sebelum menghulurkan pesanan minuman kepada pelanggan wanita bertudung.
Kapsyen yang ditulis bersama video terbabit menjelaskan bahawa semua pelanggan boleh mendapatkan air secara percuma jika mereka menari di hadapan 'foodtruck' berkenaan.
Bagaimanapun, akaun TikTok milik peniaga itu bagaimanapun dihujani kritikan netizen yang rata-rata menyelar tindakan mereka termasuklah mengingatkan cara peniaga itu mencari rezeki.
Tampil mengulas berkenaan kecaman yang diterima, pengusaha, Mohd Amin Fardullah Muthu berkata, terdapat salah faham dalam kalangan netizen.
Katanya, apa yang dikongsikan itu hanyalah demi 'content' TikTok semataa-mata dan sebenarnya tidak memberikan air secara percuma walaupun pelanggan menari.
Namun, Amin turut berkata, sejak dari dahulu lagi andai ada pelanggan yang datang dan kurang berkemampuan, dia akan memberikan minuman secara percuma. Dia percaya, itu adalah kunci kejayaan perniagaannya.
"Saya berniaga bersama tiga orang staf. Saya juga dah belanjakan RM12,000 untuk set up lampu dan sound system untuk trak," katanya yang sudah lima tahun berkecimpung dalam industri makanan dan minuman itu.
Pemuda 33 tahun itu juga meluahkan rasa terkilan apabila ada antara komen netizen yang menyamakan mereka dengan dajal.
"Banyak yang samakan kita dengan dajal. Tipulah kalau tak sakit hati. Mereka panggil kita dajal...," katanya.
Pun begitu, dia tetap berterima kasih kepada netizen yang banyak memberikan kata-kata semangat dan sokongan pada perniagaannya. -CARI