CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 312|Reply: 0

[Terengganu] Imam serba boleh

[Copy link]
Post time 6-12-2022 03:38 PM | Show all posts |Read mode

Azhari (baju merah) sedang melakukan kerja membuat bot gentian kaca. FOTO NAZDY HARUN

Kuala Nerus: Seorang imam layak digelar insan serba boleh kerana turut menjadi nelayan selain melakukan kerja membuat bot gentian kaca dan membaik pulih bot-bot milik nelayan.

Azhari Yaacob, 48, dari Flat Seri Kolam, di sini, berkata dia bertugas sebagai salah seorang imam di Masjid Sultan Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Masjid Putih, di sini, sejak 20 tahun lalu.

Menurutnya, pada masa sama, dia juga melakukan pelbagai kerja lain iaitu turun ke laut sebagai nelayan, membuat bot gentian kaca dan membaik pulih bot-bot yang dihantar pemilik untuk dibaiki.

Katanya, pembahagian masa perlu dilakukan dengan baik dengan mengutamakan tugas hakikinya dan memanfaatkan masa luang antara waktu solat untuk berada di bengkel bagi melakukan kerja membuat dan membaiki bot.

"Sekiranya tidak bertugas dan tidak melakukan kerja di bengkel, saya akan turun ke laut dan ia adalah rutin kehidupan saya seharian, namun dalam menguruskan kerja, pembahagian masa amat penting.

"Tugas sebagai imam masjid mempunyai ruang buat saya untuk melakukan pelbagai kerja lain, namun kekangan waktu bukan halangan untuk menceburi pelbagai bidang kerja dalam satu masa," katanya ketika ditemui di Hujung Tanjung, Seberang Takir, di sini.

Menurutnya, sebelum bertugas sebagai imam, dia sudah bekerja sebagai nelayan dan minatnya kepada dunia kelautan tidak dapat dipisahkan daripada kehidupannya hingga membuka pula bengkel membuat dan membaiki bot.

Katanya, sekiranya jadual bertugas padat, dia akan meninggalkan kerja-kerja bengkel kepada rakan-rakan yang lain.

"Begitu juga keluar ke laut sebagai nelayan akan dilakukan pada waktu tidak bertugas iaitu pada sebelah malam atau pagi dan akan menangkap ikan 'balik hari'," katanya.

Menceritakan mengenai bengkel membuat dan membaiki bot, Azhari berkata, peralihan musim Monsun Timur Laut (MTL) ketika ini membuatkan pemilik menghantar bot-bot mereka untuk dibaik pulih.

Menurutnya, dia menerima banyak bot untuk dibaiki dan dalam satu-satu masa mencecah hingga 10 buah berbanding musim biasa antara dua hingga tiga buah bot saja.

"Alhamdulillah, bot yang dihantar untuk dibaiki bukan hanya daripada nelayan setempat, malah dari daerah Marang dan Besut. Malah, tempahan bot gentian kaca juga datang dari seluruh negara," katanya.

Seorang pekerja, Kassim Omar, 64, dari Seberang Takir berkata, dia berkemahiran membaiki dan membuat bot lebih 30 tahun lalu dan mampu menyiapkan sebuah bot gentian kaca berukuran 15 meter panjang secara sendirian di bengkel berkenaan.

"Bot ini ditempah oleh individu dari Kelantan dan saya mengambil masa selama empat bulan untuk menyiapkan sesebuah bot gentian kaca sepanjang 15 meter ini.

"Syukur dengan kudrat yang ada, saya masih mampu bekerja untuk menyiapkan bot gentian kaca atau melakukan kerja membaiki bot," katanya.

https://www.hmetro.com.my/mutakh ... 45/imam-serba-boleh

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

27-4-2024 10:33 AM GMT+8 , Processed in 0.061131 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list