|
Ibu kepada pelakon Wafariena Roslan, Suzanah Hamad, 59, memaklumkan, pihaknya akan berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang kepada produksi yang dilihat bersikap lepas tangan selepas anaknya terbabit dalam kemalangan di set penggambaran.
Suzanah ketika dihubungi berkata, pihaknya ingin menuntut bayaran penuh untuk kerja lakonan Wafariena, seperti mana yang termaktub di dalam perjanjian.
"Sebelum ini, kami biar Pilihan Raya Umum (PRU) selesai terlebih dulu memandangkan peguam pun ada terbabit sama dalam PRU. Jadi, selepas semuanya reda, kami akan berbincang dengan peguam untuk tindakan selanjutnya.
"Apa yang kami ingin tuntut adalah, bayaran yang belum dilunaskan lagi. Sebelum ini, mereka (produksi) beritahu, akan bayar penuh," katanya kepada Harian Metro.
Menurut Suzanah, Wafariena hanya menerima separuh saja daripada jumlah bayaran sebenar.
"Bayaran yang diterima pun hanyalah separuh, yang mana, dibayar ketika Wafa (panggilan Wafariena) masuk ke set itu. Tapi, sampai sekarang, kami belum terima bayaran penuh," katanya.
Tambahnya, penerbit yang sebelum ini sering menunjukkan sikap ambil berat juga mula melepaskan tangan dengan pelbagai alasan.
"Sebelum ini, mereka tak ada masalah dalam bekerjasama. Penerbit pun memang orang yang baik. Tapi, selepas insiden ini berlaku, ada saja alasan daripada pihak mereka setiap kali kami hubungi untuk bertanya mengenai bayaran.
"Antara alasannya adalah, berada di luar negara. Pihak kami faham, mungkin penerbit itu terbabit dalam urusan berkaitan PRU, namun, apa sekalipun, prosedur pembayaran perlulah mengikut perjanjian yang sepatutnya.
"Terakhir, mereka maklumkan akan hubungi pihak kami pada Rabu (semalam). Namun, sampai ke hari ini, masih tak ada sebarang khabar berita," katanya.
Ditanya mengenai keadaan terkini Wafariena, Suzanah memaklumkan, anaknya kini semakin pulih dan sudah kembali bekerja.
"Keadaan Wafa, alhamdulillah, semakin baik. Dia pun kini sudah mula bekerja semula, namun, tak boleh kerja-kerja yang terlalu lasak.
"Terbaharu, dia akan terbabit dalam pementasan teater berjudul Pontianak Kampung Makam yang akan dipentaskan di Pulau Pinang pada 3 Disember ini," katanya.
Terdahulu, Wafariena mengalami kecederaan dalaman iaitu tisu di bahagian punggung, koyak di bahagian perut dan berlaku pendarahan selepas melakukan babak aksi lagak ngeri untuk sebuah supertelefilem. -CARI
Sumber: Harian Metro
|
|