View: 704|Reply: 0
|
Masa untuk kotakan janji
[Copy link]
|
|
Masa untuk kotakan janji
FOTO HIASAN.
Seri Paduka Baginda mengingatkan bahawa yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua. Bagaikan biduk lalu kiambang bertaut, hulurkan tangan bagi merapatkan saf antara ahli-ahli Dewan Rakyat demi masa depan negara tercinta."
Begitulah antara petikan daripada kenyataan media KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertarikh 24 November 2022. Kenyataan tersebut wajar dihayati oleh semua pemimpin negara yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) baru-baru ini. Semua pihak tidak kira sama ada yang berjaya menjadi kerajaan, mahupun yang ditakdirkan menjadi pembangkang masing-masing mempunyai peranan yang sama penting bagi memacu negara ke arah lebih gemilang.
Tempoh berkempen sudah selesai malah keputusan PRU-15 sudah pun diumumkan. Maka sekarang masanya untuk pemimpin yang memenangi pilihan raya untuk bekerja bagi merealisasikan janji-janji yang ditabur sepanjang tempoh pilihan raya. Sepertimana yang dimaktubkan dalam kenyataan media KDYMM Seri Paduka Baginda, pihak yang menang tidak menang semua. Apatah lagi masa yang diambil untuk melantik Perdana Menteri menunjukkan bahawa pihak yang menjadi kerajaan tidak mengungguli kemenangan mudah dan ini pasti menjadi cabaran tatkala melaksanakan tugas sebagai kerajaan.
Sesungguhnya kuasa mutlak hanya milik Allah SWT dan Dialah yang berhak memberi kekuasaan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan juga berkuasa menarik kembali kuasa tersebut. "Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan, Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah Ali 'Imran, ayat 26)
Firman Allah SWT tersebut cukup jelas menunjukkan kuasa pemerintahan adalah milik-Nya dan Dia berkuasa untuk mengurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya untuk menjalankan amanah pemerintahan. Dengan kata lain, Allah SWT sedang menguji sesiapa sahaja yang dikurniakan kuasa pemerintahan, sama ada peluang mengemudi kepemimpinan untuk dijadikan sebab meraih pahala ataupun sebaliknya. Maka Dialah juga yang nanti berkuasa untuk mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa juga atas kehendak-Nya.
Maka pemimpin sepatutnya mengambil peluang memikul amanah kepemimpinan ini dengan sebaiknya agar dapat menjadikan negara ini makmur lagi diberkati oleh Allah SWT. Antara perkara penting yang kini menjadi keutamaan pemimpin ialah mengotakan janji-janji yang sudah dibuat kepada rakyat semasa mereka meraih sokongan untuk dipilih sebagai pemimpin. Pemimpin yang baik akan menjadikan rakyat sebagai keutamaan dalam setiap keputusan yang diambil. Sesiapa sahaja yang mengabaikan janji maka dia termasuk dalam kalangan pemimpin yang fasiq.
Rasulullah SAW bersabda menjelaskan perihal pemimpin yang mafhumnya: "Sesungguhnya selepasku ini akan ada pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan daripada kalanganku (umat Nabi) dan aku bukan daripada kalangannya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia daripada kalanganku (umat Nabi) dan aku daripada kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)." (Hadis Riwayat Ahmad)
Sesungguhnya besar tanggungjawab pemimpin yang tidak boleh melakukan kezaliman dan tidak boleh terlibat dalam pembohongan. Perbuatan memungkiri janji yang ditaburkan kepada rakyat adalah satu bentuk kezaliman yang dilarang dalam Islam. Pemimpin yang menang juga perlu melaksanakan tanggungjawab kepada seluruh rakyat, bukan kepada kelompok yang menyokongnya sahaja.
Kepemimpinan Rasulullah SAW sepatutnya dijadikan contoh dengan baginda mentadbir negara Madinah penuh adil dan saksama. Sama ada penduduk Muhajirin dari Makkah, mahupun kalangan Ansar yang merupakan penduduk asal Madinah, kesemua mereka mendapat perhatian yang sama di sisi Rasulullah SAW. Malah golongan Yahudi seperti daripada kalangan Bani Qainuqa' yang mendiami negara Madinah turut dijamin kebajikan dan keselamatan mereka menerusi Piagam Madinah sehinggalah akhirnya mereka mengkhianati perjanjian untuk bersama-sama Nabi memakmurkan negara Madinah.
Allah SWT menjelaskan hal ini menerusi firman-Nya bermaksud: "Dan jika engkau mengetahui adanya perbuatan khianat daripada sesuatu kaum (yang mengikat perjanjian setia denganmu) maka campakkanlah (perjanjian itu) kepada mereka dengan cara terus terang dan adil. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang khianat." (Surah al-Anfal, ayat 58)
Bagi golongan pemimpin yang menjadi pembangkang di Dewan Rakyat, hakikatnya mereka juga merupakan pemimpin yang dipilih oleh rakyat. Maka laksanakanlah tanggungjawab membela nasib rakyat dengan melakukan semak dan imbang terhadap keputusan yang dibuat oleh pihak kerajaan. Setiap tindakan mestilah mencerminkan hasrat ingin melihat rakyat negara ini menikmati kemakmuran dan dapat hidup dalam keadaan baik.
Sepertimana pemimpin yang menjadi kerajaan telah menabur janji kepada rakyat, begitu juga halnya dengan pemimpin di barisan pembangkang. Tunaikanlah tanggungjawab melaksanakan segala janji mengikut kapasiti yang ditakdirkan dan usah lupa di bahu mereka juga terpikul hasrat dan aspirasi rakyat yang inginkan kehidupan mereka dibantu dengan polisi dan ketetapan yang menguntungkan, bukan yang membebankan mereka.
Pemimpin perlu menunjukkan contoh terbaik dalam setiap tindakan dan pertuturan. Jika baik akhlak pemimpin, maka baiklah juga akhlak rakyat di bawah. Ada kalanya kata-kata pemimpin menimbulkan keadaan tidak harmoni dalam kalangan pengikut sehingga mencetuskan pertelingkahan dan persengketaan. Ingatlah bahawa pemimpin menanggung kesan yang berlaku hasil daripada tindakan dan kata-kata mereka.
Pada kesempatan ini, semua pemimpin yang bakal terlibat dalam persidangan Dewan Rakyat perlu melakukan anjakan paradigma yang terhormat dengan menunjukkan perbahasan berkualiti, bukan pertelingkahan peribadi ala kebudak-budakan. Seluruh rakyat memerhatikan perlakuan pemimpin dan janganlah tindakan dan kata-kata pemimpin menghakis keperibadian mulia yang sepatutnya ada dalam diri seorang pemimpin.
Permusuhan sesama manusia adalah perkara mungkar yang sepatutnya dileraikan oleh pemimpin, bukan pemimpin yang menjadi punca permusuhan. Oleh itu, tidak ada istilah mentaati pemimpin sekiranya dia menyuruh orang lain melakukan kemaksiatan termasuk dalam hal permusuhan sesama manusia. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Apabila dia (rakyat) diperintahkan dalam perkara maksiat (oleh pemerintah), maka tiada lagi dengar (akur) dan taat." (Muttafaq 'alaih)
Marilah sama-sama seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pemimpin dan rakyat bersatu mengikut kapasiti masing-masing bagi memastikan Malaysia terus makmur, maju dan diberkati oleh Allah SWT. "Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar." (Surah al-Anfal, ayat 46)
Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... untuk-kotakan-janji
|
|
|
|
|
|
|
| |
|