|
Kecoh di media sosial apabila keputusan konsert Gegar Vaganza minggu kesembilan yang menobatkan Shila Amzah di tangga pertama dan Hazrul Nizam di tangga kedua dipertikan pihak netizen.
Semuanya gara-gara netizen merasakan persembahan Hazrul menyampaikan lagu 'Writings On The Wall' lebih bagus berbanding Shila yang menyampaikan lagu 'Survivor'.
IG Shila
Disebabkan itu, ada netizen menggelar juri sebagai pekak dan buta. Malah, ada juga yang membuat spekulasi bahawa Shila adalah anak emas Astro.
Getaran berkesempatan bertemu dengan barisan juri profesional sejurus tamat konsert minggu kesembilan bagi mendapatkan kepastian tentang pemarkahan pada minggu tersebut.
Menurut ketua juri iaitu Datuk Ramli MS, Shila mendapat tempat pertama kerana lagu yang disampaikannya lebih sukar berbanding Hazrul.
“Dari segi kesusahan untuk menyampaikan lagu, saya rasa Shila menghadapi lebih banyak kesukaran. Kalau dilihat dari segi permarkahan, rasanya majoriti juri bersetuju.
“Hazrul menyanyi okey, tetapi saya dengar dia ada banyak ‘off’. Saya mendengar melalui fon kepala. ‘Feel’ dia semua okey. Tetapi tenaga kerja yang diberikan Shila adalah lebih,” katanya.
Komen dari Datuk Ramli turut dipersetujui oleh seorang lagu juri iaitu Datuk Syafinaz Selamat yang merasakan Shila melakukan lebih banyak kerja di atas pentas.
IG Shila
“Shila lakukan banyak kerja di atas pentas. Seperti yang anda semua lihat, dia perlu menyanyi, menari dan menyampaikan emosi. Tetapi Hazrul membuat persembahan dengan bagus juga,” katanya.
Pada malam konsert itu, Shila mendapat markah sebanyak 85.30 peratus berbanding Hazrul yang mendapat markah sebanyak 81.00 peratus. Malang buat Asheed Def Geb C apabila dia menjadi mangsa penyingkiran disebabkan hanya berjaya mengumpul markah sebanyak 58.00 peratus.
Sumber: Getaran
|
|