Dihempap bongkah batu runtuh menyebabkan sub stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sebuah ladang ternakan ayam di Kampung Raja Musa, Bestari Jaya musnah, jam 11 pagi hari ini.
Kejadian itu melibatkan 80 peratus kemusnahan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dikerah ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
 Keadaan bongkah batu yang menghempap sub stesen TNB di sebuah ladang ternakan di Kampung Raja Musa, Bestari Jaya, Kuala Selangor, Selangor.
Jelas beliau, pemeriksaan mendapati runtuhan batu bersaiz besar itu terjatuh menghempap sub stesen tersebut.
“Tiada mangsa dilaporkan berada di lokasi itu kecuali enam pekerja di asrama ladang ternakan berdekatan.
“Kita sudah mengarahkan pemilik ladang supaya memindahkan semua pekerja itu sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Norazam, pihaknya masih menjalankan pemantauan lanjut bagi menghadapi kemungkinan berlaku runtuhan susulan. – UTUSAN
Sumber: Utusan
|