Sekurang-kurangnya 120 maut selepas sebuah jambatan gantung runtuh di Gujarat, di barat India semalam.
Ratusan orang terjun ke dalam Sungai Machchhu di wilayah Morbi, kira-kira 200 kilometer (km) ke barat Ahmedabad, bandar utama di Gujarat, selepas jambatan gantung berusia hampir 150 tahun itu mula runtuh dan seterusnya tenggelam.
 Anggota penyelamat menggunakan bot bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas sebuah jambatan gantung merentasi Sungai Machchhu di wilayah Morbi di Gujarat, India roboh. - Foto AP
Jambatan gantung sepanjang 233 meter dan 1.5 meter lebar itu dibina pada 1880 oleh penjajah British, menggunakan bahan yang diimport dari England.
Pihak berkuasa berkata kira-kira 500 orang berada di lokasi kejadian dan mereka masih meneruskan usaha menyelamatkan mangsa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak yang sedang meraikan upacara keagamaan.
Seorang menteri dalam kerajaan negeri Gujarat, Brijesh Merja, berkata lebih 80 mangsa berjaya diselamatkan.
 Mangsa runtuhan jambatan gantung merentasi Sungai Machchhu di wilayah Morbi di Gujarat, India di bawa ke hospital bagi menerima rawatan. - Foto AP
Jambatan berkenaan hanya dibuka semula pada Rabu lalu selepas menjalani kerja baik pulih selama tujuh bulan, walaupun belum menerima kelulusan mengesahkan keselamatannya.
Video menunjukkan suasana huru-hara apabila orang ramai cuba menyelamatkan diri selepas jatuh ke dalam air.
Sementara itu, sebuah video menunjukkan orang ramai memanjat lebihan wayar jambatan bagi menyelamatkan diri daripada lemas.
Pasukan penyelamat dari daerah lain turut dihantar ke tempat kejadian untuk membantu usaha menyelamat.
 Sebahagian daripada jambatan gantung yang runtuh di wilayah Morbi, di Gujarat, India. - Foto REUTERS
Semalam, pihak berkuasa melancarkan operasi menyelamat dengan bot dan penyelam dikerah mencari mangsa sehingga lewat malam.
Puluhan anggota tentera darat dan laut India turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu.
Pihak berkuasa juga menghentikan aliran air dari empangan berdekatan memasuki sungai dengan membina empangan, sekali gus melancarkan operasi SAR susulan paras air berkurangan.
Pada masa sama, Perdana Menteri India, Narendra Modi, yang berada di Gujarat dalam lawatan tiga hari, berkata beliau amat sedih dengan tragedi itu serta mengumumkan pampasan untuk mangsa yang cedera selain waris mereka yang meninggal dunia.
Sumber: BH Online |