|
Ezzaty Abdullah dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Kota Damansara, Selangor pada Isnin bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan susulan selepas mengalami batuk sejak tiga bulan lalu.
Berkongsi perkara tersebut, suami kepada aktres itu, Azwan Kombos memaklumkan doktor telah menjalankan pemeriksaan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) pada bahagian paru-paru dan masih menunggu jawapan pakar bagi mengetahui punca sebenar masalah tersebut.
IG Ezzaty
"Sebelum ini pernah lakukan pemeriksaan X-ray dan diberitahu ada masalah di bahagian paru-paru. Hari ini (Selasa) doktor telah lakukan ujian CT scan untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut. Keputusan akan dimaklumkan seawal esok.
"Sebenarnya sudah hampir tiga bulan dia mengalami batuk tanpa henti. Tiada sebarang masalah lain seperti demam atau sebagainya namun disebabkan komitmen kerja barulah sekarang dapat berjumpa pakar.
"Memang kasihan melihat dia mehanan sakit sehingga menggangu aktiviti harian," katanya ketika dihubungi mStar.
Terdahulu, Ezzaty berkongsi foto dia berada di hospital berkenaan menerusi hantaran di Instastory miliknya.
Sementara itu, Azwan memaklumkan isterinya itu pernah mengalami masalah sama ketika masih kecil dahulu, malah lebih teruk apabila setahun mengalami batuk.
"Dia pernah beritahu mengalami masalah sama ketika kecil dahulu. Tak sangka pula pada usia sekarang ini ia terjadi lagi. Kami ingatkan hanya batuk biasa.
"Saya ada menenami dia ketika melakukan ujian CT scan. Keadaannya memang agak lemah. Pihak hospital juga mendapati terdapat lendir pada bahagian paru-paru dan telah dikeluarkan.
IG Ezzaty
"Buat masa sekarang, dia diberikan rawatan antibiotik. Untuk rawatan selanjutnya bergantung kepada keputusan CT scan yang akan dikeluarkan nanti," ujarnya.
Sumber: mStar |
|