Seorang pekerja Rahman Hydraulic Tin, Klian Intan maut manakala seorang lagi lelaki yang bekerja di tempat sama parah dalam kemalangan ketika cuba mengelak pokok tumbang di Kilometer 16 Jalan Pengkalan Hulu-Gerik, hari ini.
Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Superintenden Zulkipli Ibrahim berkata, mangsa, Mohamad Shah Abd. Hamid, 45, dari Kampung Charuk Shikin, Kupang, Baling, Kedah meninggal dunia di tempat kejadian manakala Mohamad Shahfudfin Mohamad mengalami kecederaan parah di kepala.
 Lokasi kemalangan - UTUSAN
“Siasatan awal mendapati Mohamad Shah yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dalam perjalanan ke tempat kerja di Rahman Hydraulic Tin, dipercayai cuba mengelak sebatang pokok tumbang yang melintang jalan di laluannya dan masuk ke lorong bertentangan.
“Pada masa sama, Mohamad Shahfudfin yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC yang datang dari arah bertentangan tidak dapat mengelak lalu bertembung,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Zulkipli, akibat pertembungan tersebut, Mohamad Shah meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Gerik untuk dibedah siasat.
Beliau berkata, Mohamad Shahfudfin yang mengalami cedera parah di kepala dihantar ke Hospital Daerah Baling untuk rawatan lanjut.
“Ketika kejadian, keadaan cuaca hujan. Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sumber: UTUSAN |