|
Kehadiran klon ‘Ziana Zain’ atau nama sebenarnya Nik Aidi Azhar Che Seman di konsert Gegar Vaganza musim kesembilan pada minggu keempat mendapat perhatian ramai.
Difahamkan dia hadir ke program tersebut untuk menunjukkan sokongan kepada penyanyi tanah air selepas sudah lama tidak hadir ke program itu.
“Memang saya datang GV untuk support penyanyi-penyanyi Malaysia. Sebelum ini, saya support Intan Sarafina tapi lepas habis GV3 itu saya balik kampung,” katanya seperti dipetik di Gempak.
Tambahnya lagi, dia menegaskan ‘kehilangannya’ selama dua tahun dalam dunia hiburan adalah disebabkan dia menjaga arwah ayahnya yang sakit di kampung dan bukan dahagakan perhatian umum.
“Dua tahun saya menyepi sebab jaga arwah ayah yang sakit di kampung dan masa itu saya kerja kilang. Sebab lama dah menyepikan diri, saya kembali nak sokong artis Malaysia.
“Tak ada nak tarik perhatian orang. Tapi kalau ada orang yang support saya, terima kasih… Alhamdulillah. Biasa la, lumrah kalau ada orang tak suka dan suka.
“Tapi saya ini tetap suka dengan semua orang. Artis Malaysia pun baik dengan saya, macam Dina, Tomok, termasuk Siti Nurhaliza dan Ziana Zain yang kalau jumpa saya tegur tanya khabar,” katanya.
Pemuda asal Kelantan itu turut mendedahkan dia pernah ditegur oleh pengacara terkenal, Nabil Ahmad mengenai penampilannya sebagai wanita seksi.
“Dulu abang Nabil pernah tegur saya seksi… saya memang seksi teruk dulu tapi sekarang ini, kita pun dah berumur. Takut juga tengok ramai yang dah meninggal. Kita dekat dunia pun bukan lama pun." -CARI |
|