|
Ketua Pegawai Eksekutif WebTVAsia yang juga penerbit filem Juang, Fred Chong mengakui masih sukar membuang perasaan terkilan kerana tidak dapat berbual dan bertemu Allahyarham Adibah Noor sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir pada 18 Jun lalu.
Menurut Fred, dia dan Allahyarham bersahabat baik sejak 10 tahun lalu, namun ketika saat akhir hayatnya, dia dapat mengesan kelainan pada diri arwah apabila beliau menyepi dan menjauhkan diri.
Fred terkilan tidak sempat bertemu Adibah sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir.
“Terus-terang, saya menyesal tidak dapat mengucapkan selamat tinggal kepadanya. Kami memang berkawan baik dan sebelum pandemik melanda dunia, kami rajin berinteraksi menerusi panggilan telefon dan mesej.
“Tetapi, keadaan menjadi berbeza. Saya menyesal tidak dapat berjumpa semasa hayatnya masih ada,” kata Fred ketika ditemui pada majlis sidang media sumbangan penghargaan kepada keluarga Allahyarham Adibah Noor, petang tadi.
Selain itu, kata Fred, dia juga pernah tersalah sangka dengan tindakan arwah yang mendiamkan diri pada saat akhir hayatnya.
“Saya ada beberapa kali menghantar mesej, tetapi beliau tidak sekali pun membalas. Saya terfikir, adakah beliau marah atau terasa hati dengan saya. Apakah saya ada buat salah?
“Saya tidak tahu beliau sakit. Apabila mendapat tahu keadaannya, kami bagaimanapun, tidak sempat bertemu,” katanya.
Berkongsi mengenai sumbangan, kata Fred, Juang merupakan filem Amal Non Fungible Token (NFT) pertama di Malaysia yang menyalurkan semua hasil kepada beberapa badan kebajikan.
Menurut Fred, WebTVAsia telah berjaya menerima jumlah bidaan sebanyak RM40,000 dan NFT milik Allahyarham Adibah yang turut membintangi dalam filem itu berjaya dibida dengan RM20,000.
IG Juang
Jumlah bidaan RM20,000 itu diserahkan kepada keluarga Adibah menerusi kakaknya, Noor Abidah.
Selain itu, sejumlah RM20,000 turut diperuntukkan kepada dua badan kebajikan terpilih dengan masing-masing menerima RM10,000 iaitu The Thrive Well dan The Hope Branch.
“Kami berharap dapat meningkatkan sektor kreatif Malaysia melalui inisiatif digital NFT sebagai pemangkin kepada peluang komersial dan penjenamaan baharu untuk pekerja industri pada masa akan datang.
“Menggunakan teknologi dalam industri kreatif, lebih banyak peluang untuk diterokai, termasuk sumbangan dan komitmen kepada masyarakat yang memerlukan.
“Mengambil Apresiasi Juang NFT ini sebagai projek perintis pertama, WebTVAsia percaya dan yakin lebih banyak kerjasama dapat diwujudkan dan memberi impak lebih besar serta positif,” katanya.
Sumber: Utusan |
|