KUALA NERUS: Orang ramai tidak perlu panik dengan risiko bencana di
Empangan Kenyir dekat Hulu Terengganu, terutama menjelang musim Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat, berkata Monsun Timur Laut biasanya membawa taburan hujan yang lebih tinggi berbanding musim lain.
Keadaan itu, katanya, mungkin menyebabkan berlaku limpahan air keluar dari empangan berkenaan.
"Bagaimanapun setakat ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyatakan ia selamat, tidak akan berlaku apa-apa, insya-Allah. Jadi tak usah kita menguar-uarkan.
"Saya harap rakyat Terengganu tak panik dengan ramalan itu. Kita semua berdoa dan buat sembahyang hajat supaya ia tidak berlaku," katanya yang juga EXCO Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Hari Sayyidatina Aishah 2022 dan Majlis Pelancaran Dasar Wanita Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu Gong Badak, di sini hari ini.
Hanafiah Mat (dua dari kanan) bersama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (dua dari kiri) melihat buku dasar wanita pada Program Hari Sayyidatina Aishah 2022 dan Majlis Pelancaran Dasar Wanita Terengganu di Kuala Nerus, hari ini. - BERNAMA