Bukan pakaian dalam, sebaliknya lelaki di Jepun ini obses dengan baju hujan wanita sehingga mencuri sebanyak 360 helai pakaian berkenaan dalam tempoh 13 tahun.
Yoshida Yoda, 51, yang turut digelar sebagai Raincoat Man ditahan di Osaka selepas pihak berkuasa cuba memburunya sejak lebih sedekad lalu.
Polis menemukan 360 helai baju hujan wanita ketika menggeledah rumah Yoshida Yoda. - POLIS OSAKA
Lapor Oddity Central, Yoshida Yoda yang merupakan penghantar surat khabar didapati obses dengan baju hujan dikenali sebagai `kappa’.
Polis menemukan sejumlah 360 helai kappa ketika menggeledah rumah Yoshida, dengan baju hujan paling lama dicuri pada tahun 2009.
Menurut jurucakap polis Osaka, modus operandi Yosida adalah mengekori wanita yang menunggang basikal atau memeriksa basikal mereka yang diparkir untuk mencuri kappa berkenaan.
“Sekiranya Yoshida menemukan baju hujan, dia akan mencurinya untuk dijadikan sebagai koleksinya,” katanya.
Yoshida mula mencuri baju hujan wanita pada 2009, namun polis percaya sekurang-kurangnya 320 helai yang ditemukan di rumah lelaki itu dicuri dalam tempoh sembilan tahun lalu.
Polis berkata, Yoshida menyebabkan kira-kira AS$7,800 (RM36,160) kerugian sepanjang kegiatan kecurian selama 13 tahun.
Sumber: Utusan |