Seorang lelaki dilarang memasuki kamar sebuah mahkamah di Valencia, Sepanyol untuk menghadiri perbicaraan kerana dia hadir berbogel, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Alejandro Colomar, 29, dipintas oleh anggota polis di luar mahkamah kelmarin kerana hanya memakai stoking serta sepasang kasut but selain sebuah beg galas.
Colomar akhirnya dibenarkan memasuki mahkamah selepas dia memakai pakaian lengkap. – El Diario
“Saya memang ingin masuk ke mahkamah dalam keadaan berbogel,” katanya kepada pemberita seperti dipetik akhbar El Diario.
Lelaki yang bekerja untuk sebuah syarikat perisian berpangkalan di Amerika Syarikat itu dilaporkan berulang kali didenda kerana enggan memakai pakaian di tempat awam.
“Saya memang begini. Saya gemar berbogel ketika pergi ke pantai sejak kecil dan tidak mempunyai masalah untuk berbogel,” kata Colomar.
Tambahnya, dia juga telah membuat beberapa pencarian internet dan mendapati bahawa tiada masalah sekiranya seseorang itu mahu berbogel di tempat awam.
“Ia dibenarkan di sisi undang-undang, jadi saya pun mula berbogel. Mereka (pihak berkuasa) mendenda saya kerana polis tidak tahu undang-undang itu,” ujarnya.
Colomar didenda hampir AS$2,900 (RM13,393) kerana melanggar artikel 37 undang-undang maksiat yang mengharamkan aktiviti bogel melampau, kata peguamnya, Pablo Mora.
Lelaki itu akhirnya dibenarkan memasuki mahkamah selepas dia memakai pakaian lengkap.
Sumber: Kosmo |