GEORGETOWN: Bot bersama lima nelayan warga Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, di sini, semalam, kerana menceroboh perairan negara.
Mereka ditahan di kedudukan 29 batu nautika barat daya Pulau Kendi ketika pasukan berkenaan melakukan rondaan Op Tanjung, pada jam 4.10 petang.
Pengarah Maritim Malaysia negeri, Kepten Abd Razak Mohamed berkata, bot berkenaan ditahan ketika nelayan terbabit sedang menangkap ikan dan pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan seramai lima kru termasuk tekong yang berusia antara 16 hingga 21 tahun.
"Semua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri manakala tiga daripadanya masih di bawah umur.
"Bot berkenaan didapati berpangkalan di Pantai Labu, Sumatera Utara," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abd Razak berkata, bot bersama nelayan berkenaan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban sebelum diserah kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
Semua yang ditahan, disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2010 (ATIPSOM) kerana memperdagangkan kanak-kanak.
"Ia adalah tangkapan kedua sepanjang bulan ini membabitkan bot nelayan asing dari Indonesia di perairan Pulau Pinang.
"Tangkapan pertama adalah pada 14 September lalu di sekitar 51 batu nautika barat daya Pulau Kendi," katanya lagi.
Orang ramai yang mempunyai sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh menghubungi talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.