Sumber IG
Penyanyi yang terkenal dengan lagu-lagu etnik kreatif, Noraniza Idris tampil menepis dakwaan pihak yang mengatakan dirinya duta kepada sebuah skim perumahan khas untuk selebriti yang disyaki mempunyai unsur penipuan.
Noraniza yang dihubungi Getaran menjelaskan, dia hanyalah Duta Pelancongan Seni dan Budaya dan bukannya duta kepada skim Rumahku Syurgaku seperti yang dinyatakan.
Katanya, secara kebetulan, majlis pengumumannya sebagai duta pelancongan serta skim tersebut dijalankan pada waktu yang sama anjuran sebuah syarikat pemaju.
"Niat asal mereka hanya nak bantu artis dengan RM10 tanpa melibatkan hal-hal kewangan yang lain. Apapun, saya selalu berpesan agar berhati-hati. Itu memang pesanan awal saya. Kalau tak ada rezeki, anggaplah kita sedekah macam beli jajan sahaja. Kita kena tengok prosedur selanjutnya. Tanpa paksaan.
"Setakat ini, saya sudah panjangkan isu ini kepada peguam. Saya tidak mahu terlibat apa-apa berkaitan isu ini. Jika ada pihak nak panjangkan isu ini, teruslah berurusan dengan syarikat pemaju itu. Ia tiada kaitan dengan urusan peribadi saya.
"Jangan kaitkan saya atau mana-mana artis dengan isu ini," katanya kepada Getaran.
Penyanyi itu enggan mengulas lebih lanjut mengenai perkara tersebut sebaliknya menyatakan sebuah kenyataan rasmi bakal dikeluarkan melalui peguam lantikan.
Terdahulu, sekumpulan aktivis yang diketuai usahawan Mona Din dan peguam, Datuk Khairul Anwar Rahmat membuat pendedahan bahawa skim Rumahku Syurgaku yang diperkenalkan oleh sebuah syarikat pemaju untuk penggiat seni Malaysia mempunyai unsur penipuan. - CARI
|