Sumber IG
Memulakan kerjaya sebagai wartawan dan kemudiannya menceburkan diri dalam bidang lakon lagak ngeri, Ahirine Ahirudin kini terus melebarkan sayap sebagai pelakon di bawah naungan Prodigee Asia Talent (PAT).
Bakat dan ketrampilan yang ditonjolkan oleh Ahirine menarik minat syarikat pengurusan artis di bawah Web TV Asia itu kerana dia dikatakan bakal menjadi penerus legasi kepada pelakon kebangaan negara yang kini menempa nama di Hollywood, Tan Sri Michelle Yeoh.
Menerusi laporan Media Hiburan, kata Ahirine, meskipun harapan yang diletakkan oleh syarikat pengurusan agak tinggi namun dia bersedia untuk bekerja keras demi melonjakkan namanya dipersada industri seni tanah air mahupun antarabangsa.
"Tiada siapa yang boleh menyangkal kehebatan kerjaya yang dikecapi oleh Tan Sri Michelle Yeoh. Dia sememangnya disukai ramai dan mempunyai nama yang sangat besar bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Hollywood.
"Bila pihak pengurusan mengatakan saya ini sebagai Michelle Yeoh yang seterusnya, saya akui agak tertekan. Pada masa sama, saya juga amat berbesar hati kerana dia sudah menjadi idola saya sejak sekian lama.
"Saya turut memasang impian untuk mengikut jejak langkahnya. Saya sanggup memberikan segalanya untuk mencapai tahap yang telah dia kecapi sehingga ke hari ini," katanya.
Meminati sukan permotoran dan Muay Thai, Ahirine berkata, karier sebagai pelakon aksi lagak ngeri sedikit sebanyak telah membuka peluangnya untuk bergelar pelakon.
"Dulu, nama saya selalu ditolak apabila hadir ke casting tapi bila dapat peluang untuk menjadi pelakon aksi lagak ngeri walaupun harus mengenakan topi keledar, saya dah gembira sangat.
"Saya tak kisah bermula dari bawah. Sebagai contoh, semasa berlakon Remp-it 2, pada mulanya, saya hanya ditawarkan perana sebagai body double.
"Kemudian, pengarah, Farid Kamil nampak bakat saya dan berikan salah satu watak utama kepada saya," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kritikan netizen yang menggelarnya pelakon kayu, Ahirine yang membintangi filem Gadis Jolobu sama sekali tidak terasa hati sebaliknya bersedia untuk memperbaiki lakonannya.
"Saya pelakon baharu, saya akui banyak lagi ilmu lakonan yang harus saya pelajari. Saya tidak akan berhenti belajar dan akan cuba sehabis baik.
"Mungkin sebelum ini saya berlakon sambil memakai helmet jadi ekspresi wajah tak selalu nampak. Sekarang dah lain, saya kena bersedia dari segala aspek," katanya yang akan menghadiri kelas lakonan yang disediakan oleh pihak pengurusan. -CARI
|