Sumber IG
Bagi memastikan penggunaan riasan kuku berasaskan inai keluarannya sah dalam solat, pelakon, Rozita Che Wan mengambil langkah mendapatkan pengiktirafan dengan melakukan uji kaji terhadap kuku manusia terhadap produknya, Mazaville (Inai Che Ta).
Menerusi laporan mStar, aktres berusia 49 tahun yang mesra disapa sebagai Che Ta itu berkata, menerusi uji kaji yang dilakukan oleh Fakulti Perikanan dan Sains Makanan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 14 September lalu, produk tersebut diiktiraf telap air dan sah penggunaannya dalam solat.
"Inai Che Ta adalah inai pertama yang melakukan ujian terhadap kuku manusia sebenar di mana sebelum ini penggunaan bahan itu di atas gelas atau bahan lateks yang belum tentu tepat dan sah solat.
"Alhamdulillah, Inai Che Ta disahkan dan diiktiraf selamat dan sah penggunaannya dalam solat oleh UMT," katanya.
Katanya lagi, ujian tersebut dijalankan bagi meleraikan isu penggunaan inai dalam solat yang menjadi perdebatan warga maya sebelum ini.
Ujian tersebut juga dilakukan bagi memastikan pengguna tidak berasa was-was menggunakan produk keluarannya.
"Lambakan inai yang mudah digunakan di pasaran seperti ini serbuk, inai siap bancuh atau inai celup menyebabkan ramai rasa keliru tentang perbezaan selain timbul persoalan sama ada ia meresap air dan sah solat.
"Ini termasuklah inai jenis celup yang dikatakan menghalang air untuk sampai ke anggota wuduk atau mandi wajib tetapi Alhamdulillah, produk kami selamat dan sah dipakai ketika solat," jelasnya.
Ujian klinikal berkenaan dilakukan oleh pensyarah UMT, Prof Madya ChM Dr Mohd Zul Helmi Rozani yang sebelum ini pernah bekerjasama dalam menjalankan kajian untuk produk inai NunHa keluaran selebriti Neelofa. - CARI
|