SUMBER IG
Ketika rakan seangkatan lain masing-masing menunjukkan bakat di pentas program pertandingan, pelakon dan penyanyi, Amy Mastura bagaimanapun menolak menyertai sebarang acara seperti itu kerana enggan membuka ruang terhadap kecaman.
Menerusi laporan Kosmo! Online, Amy bagaimanapun mendedahkan sering kali dipujuk beberapa produksi, namun buat masa ini dia lebih selesa menjalani kehidupan tenang tanpa tekanan sekeliling.
"Sejujurnya, saya takut nak masuk mana-mana pertandingan nyanyian. Mungkin saya memang jenis tak suka tekanan. Jadi, saya elakkan. Saya nak tenang-tenang saja.
"Biarlah orang kata saya tolakj peluang keemasan. Apabila kita memilih kehidupan kurang tekanan bermakna kita juga kena kurang dedahkan diri untuk dikritik.
"Anugerah dan bakat yang Allah beri pun bukan untuk saya terlampau terbuka. Maksudnya, biarlah saya begini saja, bersederhana dalam kehidupan dan kerjaya.
"Kali terakhir saya naik pentas adalah Super Spontan Superstar 2017, itu pun bukan pertandingan nyanyian," katanya.
Wanita berusia 51 tahun itu menjelaskan, penyertaannya dalam arena hiburan yang pada awal dulu sekadar mencuba nasib dan sehingga kini mampu terus bertahan.
"Apa yang saya cita-citakan dulu tidak sebesar ini malah hakikatnya dari dulu sampai sekarang saya dapat lebih lagi dalam dunia hiburan.
"Sebenarnya waktu itu saya nak buat satu album saja sebab mahu dengar suara sendiri dalam radio. Tapi tak sangka terus diterima dan kurang terdedah kontroversi.
"Tidak bermakna saya baik kerana tiada kisah sensasi sebaliknya saya bersyukur Allah jaga aib saya. Lagipun dulu tiada media sosial yang dedah semua perkara.
"Setakat ini saya masih waspada apabila menggunakan sosial media. Biarlah content biasa-biasa tunjuk aktiviti kerja, janji saya tidak melampau," katanya yang ingin dikenali kerana perkara baik dan bukan sebaliknya. - CARI
|