Sumber IG
Pelawak yang bakatnya diasah menerusi program Lawak Solo, Danial Zaini mengakui adakalanya terlupa yang dia berkahwin walaupun sudah dua bulan mendirikan rumah tangga bersama Yasmine Umaira.
Menerusi laporan mStar, pasangan itu masih lagi dalam proses saling mengenali bagaimanapun Danial bersyukur kerana kehidupannya selepas berkahwin lebih teratur jika dibandingkan ketika dia masih bujang.
"Dua bulan kahwin kami masih dalam proses kenal sebab selama hubungan kami jarak jauh menyebabkan kami jarang berjumpa. Saya masih lagi dalam fasa membiasakan diri hidup suami isteri.
"Kadang-kadang, apabila saya pergi mandi, keluar dari bilik air nampak ada orang. Mula-mula saya terkejut juga.
"Tapi, hidup saya lebih teratur sebab kalau ketika masih bujang, saya balik rumah bukannya terus basuh baju dan makan nasi bungkus sahaja. Sekarang ini, ada isteri yang uruskan semua," katanya.
Dalam pada itu, kata Danial lagi, tanggung jawab sebagai suami juga membuatkan matlamat hidupnya lebih jelas.
"Ketika masih bujang, saya hidup pergi kerja, dapat gaji mungkin enjoy. Tapi, apabila sudah berkahwin saya ada matlamat untuk jaga anak orang dan seterusnya anak-anak kami nanti.
"Sekarang ini, setiap apa yang saya lakukan itu ada sebabnya dan semuanya kerana keluarga kecil saya," katanya. - CARI
|