Awal pagi semalam, segmen Suria.Pagi yang dikendalikan oleh penyampai radio Suraya Borhan, Ajak dan Shuib menjadi bualan ramai apabila ramai meluahkan rasa sebak dengan topik yang dibahaskan oleh mereka bertiga.
Topik yang dikupas adalah berkenaan dengan jenis-jenis mengidam yang dialami oleh ibu mengandung dan tak dinafikan, ramai berkongsi pengalaman mereka berdepan situasi tersebut.
Bagaimana pun, di sebalik celoteh penyampai radio itu, rupa-rupanya ada peristiwa menyentuh hati yang mana boleh dilihat menerusi perkongsian Ajak Shiro di akaun Instagram miliknya.
Dalam hantaran tersebut, reaksi Shuib seperti sedang menahan sebak apabila radio mendendangkan lagu arwah isterinya, Siti Sarah Raisuddin.
Pelakon dan pelawak itu dilihat cuba mengawal emosinya dengan matanya tidak lepas melihat telefon, namun dari sisi lain boleh dilihat ada perubahan pada air mukanya.
Shuib juga sempat memberikan pesanan buat semua yang bergelar suami.
"Kalau isteri kita mengidam, Suami usahalah sebaiknya tunaikan..Barangkali itu adalah permintaan terakhir dia"
"Kita sebagai seorang lelaki jalankanlah tanggungjawab dengan sebaik mungkin, pasal mengidam semua ni bukan main-main"
"Dan kita pula tahu kan, kita punya jodoh, ajal ni..kita tak tahu. kang nanti kalau tak ada menyesal pulak"
"Hidup berpasangan ni best dan kita kena faham juga satu lagi,
"Cinta itu bukan tentang mencari pasangan yang sempurna, tetapi menerima pasangan kita dengan sempurna", katanya.
Ramai dikalangan warganet turut tersentuh melihat reaksi Shuib dan mengakui betapa sukarnya jika berada di tempatnya, lebih-lebih lagi apabila berpisah dunia yang mana kita tidak akan lagi dapat melihat arwah dan sakitnya menanggung rindu pada mereka yang telah tiada.
Jadi, hargailah pasangan kita sebaik mungkin semasa dia masih disisi kita. - CARI
|