Selebriti TikTok, Ryan Bakery atau lebih dikenali sebagai ' budak bedak' dalam kalangan warga maya sering mendapat perhatian dek 'content' menarik yang disajikan kepada umum.
Bagaimanapun, populariti yang dikecapinya itu tidak datang tanpa 'bayaran'. Pemuda itu berhadapan dengan tuduhan sombong dan besar kepala apatah lagi dia kini berpeluang berlakon dalam filem.
Menerusi laporan mStar, pemilik nama sebenar Muhammad Ryan Fahmi Bakery, 27, itu mengakui dia tersinggung dengan dakwaan tersebut namun tahu situasi sedemikian sudah menjadi 'sepak terajang' dalam apabila terbabit dalam dunia seni.
"Apabila ada yang katakan saya sombong, ada juga rasa tersinggung tapi saya terbuka dan terima dengan hati kerana setiap individu mempunyai pandangan dan pendapat tersendiri.
"Lagi pun, sebagai manusia biasa sukar untuk kita puaskan hati semua orang. Saya terima saja apa pandangan mereka," katanya kepada mStar.
Ryan turut menjelaskan, populariti yang dikecapinya sama sekali tidak mengubah personalitinya yang gemar berjenaka.
"Saya faham, mereka hanya melihat apa yang saya paparkan di media sosial tetapi tidak mengenali saya secara peribadi. Melihat dan menilai itu mungkin berdasarkan bahasa tubuh atau reaksi wajah sahaja.
"Kalau ada yang ingin tahu, boleh datang dan tegur saya. Saya ini sebenarnya 'masuk air' dan 'gila-gila'.
"Tiada sebab untuk saya bersikap sombong kerana pengikut di media sosial yang banyak memberikan sokongan kepada saya. Tanpa mereka, saya bukanlah siapa-siapa," katanya. -CARI
|