|
ROSLI Mat Hassan (barisan depan, tiga kiri) bersama Din Adam (barisan depan, empat kiri) melepaskan anak penyu agar sempena sambutan 100 tahun Gerakan Koperasi dan Hari Kebangsaan Ke-65 di Pantai Rantau Abang, Dungun, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
29 Ogos 2022, 2:18 pm
DUNGUN: Sebanyak 400 ekor anak penyu agar dilepaskan oleh Institut Koperasi Malaysia sempena sambutan 100 Tahun Gerakan Koperasi dan Hari Kebangsaan Ke-65 di Pantai Rantau Abang, di sini, hari ini.
Pengerusi Institut Koperasi Malaysia, Datuk Rosli Mat Hassan berkata, program yang dianjurkan dengan kerjasama Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dungun itu merupakan salah satu inisiatif yang diambil bagi membantu memulihara reptilia marin yang diancam kepupusan itu.
“Ini merupakan satu daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan kami memilih penyu kerana haiwan ini adalah ikon bagi negeri Terengganu.
“Jika kita tidak mulakan usaha memelihara dan memulihara reptilia marin ini, mungkin satu hari nanti, penyu akan pupus dan generasi akan datang tidak dapat mengenali penyu,” katanya kepada pemberita selepas Program Pelepasan Anak Penyu di Pantai Rantau Abang, di sini, hari ini.
Program tersebut disertai kira-kira 50 peserta termasuk beberapa badan bukan kerajaan (NGO) serta penduduk kampung.
Menurutnya, anak penyu yang dilepaskan merupakan hasil penetasan yang dilakukan Jabatan Perikanan.
“Kita juga memilih untuk melepaskan penyu di Rantau Abang dengan harapan lokasi ini kembali menjadi tumpuan pendaratan penyu seperti era tahun 80 an,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dungun, Datuk Din Adam berkata, selain aktiviti pelepasan anak penyu, pihaknya turut mengadakan aktiviti pembersihan di Pantai Pelanduk, Kuala Abang yang disertai kira-kira 100 peserta.
“Selain itu, kita turut mengagihkan bantuan bakul makanan beserta wang tunai kepada 50 keluarga asnaf di daerah ini,” katanya. –UTUSAN ONLINE
https://www.utusan.com.my/berita ... antai-rantau-abang/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|