|
Bakal menjayakan konsert sulung, Malai Solo pada 21 hingga 23 Oktober ini, penyanyi Noraniza Idris telah dicabar oleh kedua-dua anak lelakinya untuk menurunkan berat badan bagi tujuan tersebut.
Menurut Noraniza, 54, anak-anaknya iaitu Aliff Haiqal, 30, dan Alfeeq Haiqal, 29, akan memberikan ganjaran wang tunai RM20,000 sekiranya ibu mereka berjaya menurunkan berat badan sebanyak 15 kilogram dalam tempoh dua bulan ini.
Foto: IG
“Mereka bagi tempoh dalam masa dua bulan ini saya perlu turun 15 kilogram. Kalau berjaya, mereka akan hadiahkan saya RM20,000.
“Mereka buat cabaran ini untuk saya dapat stamina secukupnya ketika menjayakan konsert kelak.
“Sekarang saya pun dah mula ikut jadual pemakanan yang diberikan kepada saya. Macam biasalah, kena makan makanan sihat seperti ambil buah-buahan ketika sarapan pagi,” katanya kepada MH.
Noraniza ditemui pada majlis sidang media Konsert Malai Solo yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Untuk rekod ini konsert ini merupakan konsert sulung dan terakhir yang bakal dijayakan oleh Ratu Etnik Kreatif itu sepanjang 36 tahun berkecimpung dalam industri hiburan.
“Sebagai seorang artis sudah tentu kita ada perasaan ingin buat konsert. Ini merupakan konsert pertama dan terakhir yang akan saya buat.
“Yela, kita tidak tahu sampai bila kita akan hidup, jadi saya mahu pastikan konsert ini meninggalkan kenangan paling manis lebih-lebih lagi dalam mengangkat budaya tradisional terutama buat generasi baharu,” katanya. -CARI
Sumber: Media Hiburan
|
|