Sumber IG
Pelakon, Abby Abadi, 45, mengakui pengalamannya sepanjang aktif dalam bidang seni hiburan membuatkan dia sedikit sebanyak bimbang anak terunanya, Danish Hakim mengulangi kesilapan sama seperti mana yang pernah yang pernah dilakukannya sebelum ini.
Pemilik nama sebenar, Arbaiyah Abdul Manan itu bagaimanapun merestui pembabitan anak sulungnya itu dalam bidang hiburan selain mengingatkan supaya tidak leka dan menjaga hubungan baik dengan Allah.
Memetik laporan mStar, Abby pada awalnya tidak melihat anak-anaknya cenderung memilih kerjaya sama seperti dirinya namun tidak menghalang mereka sekiranya mempunyai keinginan untuk terjun dunia seni.
"Saya selalu nasihatkan dia supaya tidak melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Selalu menjaga hak Allah dan tahu batas dalam dunia lakonan. Saya tidak mahu dia ulang kesilapan yang saya pernah buat sebelum ini.
"Ketika berlakon dulu, saya pernah terleka. Saya tidak mahu ia terjadi kepada anak-anak saya," katanya kepada mStar.
Danish yang terpilih sebagai salah seorang peserta Fit For Action, boleh dikatakan mempunyai latar belakang agama yang kuat apatah lagi dia pernah mengikuti pengajian hafazan di Turkiye pada usia 14 tahun.
Bagaimanapun, Abby tidak menganggap perkara itu sebagai penghalang bagi anaknya atau mana-mana individu yang mempunyai latar belakang agama untuk menceburi bidang seni.
"Ramai yang anggap seseorang yang ada latar belakang agama tak boleh masuk dalam dunia hiburan. Perkara itu harus diubah. Siapa tahu dengan ilmu yang Danish ada dia boleh mengajak lebih ramai untuk mendekati agama.
"Bukan satu kesalahan besar bagi mereka yang ada pendidikan agama untuk terjun ke dunia seni sebab kalau pandai bawa diri, kerja apa sekali pun tidak akan ada sebarang masalah," katanya.
Terdahulu, Danish terpilih sebagai peserta dalam pencarian bakat yang ditayangkan menerusi TV3 itu menegaskan dia menolak untuk melakukan babak bersentuhan dengan pelakon wanita. - CARI
|