|
Aplikasi penstriman hiburan tempatan sooka bakal memperkenalkan siri Originals berformatkan program realiti mencari cinta melibatkan selebriti yang pertama di Malaysia pada Disember ini.
Rancangan berinspirasikan program realiti popular masa kini itu turut mendapat kerjasama Astro dan akan menampilkan seorang selebriti misteri popular yang sering menjadi tumpuan ramai.
Ketua Rancangan sooka, Emarina Mohd Kamal berkata, fenomena program realiti mencari cinta sudah menjadi trend diminati generasi milenial pada masa kini dan pihaknya gembira memperkenalkan siri Originals sooka pada penghujung tahun ini.
Kata Emarina, pihaknya berharap program tersebut akan memberi peluang kepada peserta dan peminat untuk mengenali selebriti pujaan mereka dengan lebih dekat sebagai artis dan individu biasa.
"Format program ini akan mengetengahkan keserasian personaliti para peserta dan selebriti terlibat, berlandaskan konteks bersesuaian dengan sensitiviti budaya tempatan.
"Kami juga berharap program ini dapat menggalakkan syarikat produksi tempatan untuk berani menghasilkan kandungan lebih kreatif pada masa akan datang," katanya.
Bercakap mengenai identiti selebriti berkenaan, Emarina berkata, artis berkenaan tidak asing dalam industri perfileman negara dan dia bukan sahaja pelakon bujang yang macho tetapi mempunyai personaliti menarik dan santai.
"Kami berpendapat rancangan ini bakal mendapat sambutan memberangsangkan dengan adegan-adegan penuh drama demi mencuri hati selebriti misteri tersebut.
"Sudah pasti tarikan utama adalah untuk menyaksikan keserasian bakal peserta bersama selebriti berkenaan sebagai pendorong kepada peminat untuk terus menonton kisah selanjutnya sehingga ke episod terakhir," ujarnya.
Bagi wanita yang berminat untuk menyertai program tersebut boleh menghantar video pendek, 'Mengapa saya ingin berkenalan' (namakan tiga selebriti pilihan) ke [email protected].
Warganegara Malaysia berusia antara 21 hingga 45 tahun dijemput menyertai sesi uji bakat sebelum tarikh tutup 23 Ogos depan.
Program realiti ini akan ditayangkan secara eksklusif di Sooka menerusi pelan langganan mudah alih Sooka-pelan VIP Entertainment pada harga RM15.90 sebulan.
Pengguna juga boleh melanggan pelan VIP TV pada harga RM42.50 sebulan.
Sumber: mStar |
|