Penasihat utama Presiden Ukraine, Mykhailo Podolyak menolak sekeras-kerasnya penglibatan negara ini dalam kematian Daria Dugina yang merupakan anak perempuan sekutu rapat Presiden Vladimir Putin dalam letupan bom kereta di Moscow.
Lapor The Guardian, kematian anak perempuan Alexander Dugin pada Sabtu lalu itu secara tidak langsung meningkatkan ketegangan perang yang berlaku antara Ukraine dan Rusia.
 Daria Dugina - Foto: Reuters
“Saya menegaskan Ukraine tidak mempunyai kaitan langsung dengan kematian Dugina kerana kami bukan negara penjenayah dan pengganas seperti Rusia,” kata Podolyak.
Menerusi laporan Al-Jazeera, Podolyak menyalahkan perpecahan kuasa dalaman di Russia merupakan sebab utama kematian Dugina.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan insiden yang menimpa Dugina mungkin disebabkan oleh ‘serangan balas dendam’ akibat bapanya menyokong Rusia menyerang Ukraine.
Media Rusia melaporkan, Dugina maut di lokasi kejadian selepas bom yang dipasang dalam kenderaan jenis Toyota Land Cruiser yang dipandu wanita itu meletup.
Agensi berita TASS menyebut, kenderaan itu merupakan milik bapanya dan tidak menolak kemungkinan sasaran sebenar adalah Dugin dan bukannya Dugina.
Semalam, pasukan forensik memeriksa lokasi kejadian dengan mengumpul bahan bukti, termasuk serpihan kereta yang dipandu mangsa.
Pasukan penyiasat sudah pun membuka kertas kerja bagi mencari dalang dan punca serangan.
Sumber: Utusan |