Soo secara simbolik menyerahkan logo parti kepada George.
KUCHING: Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) hari ini melancarkan Jelajah Aspirasi bagi memperkenalkan parti serta logo dan bendera rasmi parti itu di seluruh negeri.
Presidennya Lina Soo berkata, Jelajah Aspirasi itu antara persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
"ASPIRASI mahu rakyat Sarawak tahu tetang logo kita yang merupakan rama-rama Rajah Brooke atau nama saintifiknya Trogonoptera Brookiana.
"Brookiana merupakan antara Tujuh Keajaiban Borneo dan dinamakan rama-rama Rajah Brooke sebagai memberi penghormatan kepada Sir James Brooke, pengasas Sarawak,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Soo berkata Brookiana dinamakan sebagai rama-rama Rajah Brooke oleh naturalis terkenal Alfred Russel Wallace pada 1855 semasa melakukan ekspedisi ke Borneo.
"Rama-rama ini sangat terkenal dengan sayapnya yang berwarna hitam berkilat dengan tanda hijau elektrik.
“Ia juga diminati kerana kecantikannya dan lebar sayapnya enam inci atau 15 sentimeter," tambahnya.
Beliau menambah, APIRASI telah memilih logo rama-rama kerana percaya kesan rama-rama.
"Sedikit getaran positif boleh mengubah seluruh semesta," tambahnya.
Soo berkata dengan ASPIRASI mengintai semua kerusi majoriti Bidayuh pada PRU akan datang, parti itu juga tampil dengan slogan iklan dalam bahasa Bidayuh 'Parti Adup Ta' yang membawa maksud "Parti milik kita'.
"Kita menggunakan slogan iklan ini untuk berkempen di kawasan dominan Bidayuh pada Pilihan Raya Umum akan datang," tambahnya.
Hadir sama Pengerusi ASPIRASI George Young Si Ricord Jr.
https://www.utusanborneo.com.my/2022/08/22/jelajah-aspirasi-perkenal-logo-dan-bendera-aspirasi |