|
Ketika dunia masih berjuang menghentikan penularan Covid-19 dan cacar monyet, virus lain kini telah dikesan.
Kini muncul 'Selesema tomato', yang dinamakan sempena lepuh merah yang muncul pada kulit individu yang dijangkiti.
 Foto: Shutterstock
Ia menunjukkan simptom serupa dengan Covid-19 termasuk demam, keletihan dan sakit badan meskipun kedua-dua virus ini tidak berkaitan, lapor Daily Star.
Gejala lain termasuk muntah, cirit-birit, ruam dan dehidrasi.
Dalam kes yang terpencil, terdapat perubahan dalam warna pada anggota badan.
Menurut kajian baharu dari Lancet Respiratory Medicine Journal, selesema tomato pertama kali dikenal pasti di Kerala, India pada 6 Mei tahun ini.
Sehingga 26 Julai, terdapat lebih 82 jangkitan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah dilaporkan ke hospital kerajaan tempatan.
Seramai 26 lagi kanak-kanak sehingga umur 10 tahun juga disyaki dijangkiti.
Mereka yang dijangkiti virus itu diletakkan dalam pengasingan selama lima hingga tujuh hari.
Setakat ini, jangkitan berlaku di wilayah Kerala, Tamilnadu dan Odisha.
Ia juga dilihat hanya menjangkiti kanak-kanak pada peringkat ini, tetapi Jabatan Kesihatan Kerala mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah penyebaran virus tersebut.
Selain itu, terdapat juga kebimbangan mengenai jangkitannya boleh menular kepada orang dewasa.
Bercakap kepada India Today, Dr Subhash Chandra berkata: “Ia bukan penyakit yang membawa maut, tetapi ia berjangkit dan boleh merebak dari orang ke orang, walaupun cara sebenar jangkitan itu merebak masih dikaji.
" esakit yang mengalami demam tomato perlu minum banyak cecair dan berehat, juga dinasihatkan untuk demam virus lain, bagi memastikan badan terhidrasi dan cukup rehat," katanya.
Sumber: mStar |
|