|
Pegawai tinggi polis Indonesia, Ferdy Sambo digantung tugas sehingga siasatan membabitkan kematian pengawal peribadi, Nopryansyah Yosua Hutabarat, selesai.
Ferdy yang juga Ketua Hal Ehwal Dalam Negeri kini didesak untuk meletakkan jawatan susulan kejadian yang dikatakan mempunyai kaitan dengan hubungan sulit dengan isterinya bersama mangsa.
Penggantungan Ferdy itu diumumkan Ketua Polis republik berkenaan, Listyo Sigit Prabowo, pada Isnin lalu.
 Ferdy Sambo.
Foto: Twitter
Menurut kenyataan keluarga mangsa, punca kematian lelaki itu tidak konsisten dengan kenyataan awal yang dikeluarkan polis.
Peguam yang mewakili keluarga Nopryansyah, 27, menuntut bedah siasat kedua dijalankan kerana kematian dikatakan disebabkan kesan tembakan, namun gambar menunjukkan mangsa mengalami lebam dan luka.
Berdasarkan gambar itu juga, mangsa cedera kerana diserang dengan ganas dipercayai membabitkan lebih daripada dua orang.
"Bahu kanan dan rahang juga beralih kedudukan, manakala gigi patah dan kesan luka di bibir, hidung, bawah mata, belakang telinga, tangan dan kaki.
"Selain itu, terdapat kesan lebam pada perut dan dada," kata peguam Kamarudin Simanjuntak selepas memfailkan tuntutan itu pada Isnin.
Ketua Polis Jakarta Selatan, Budhi Herdi Susianto berkata, setakat ini tiada bukti yang menunjukkan kejadian berpunca daripada hubungan sulit.
Namun katanya, butiran lanjut mengenai siasatan tidak boleh didedahkan kepada umum.
Nopryansyah yang juga penembak tepat ditugaskan sebagai pengawal peribadi kepada keluarga Ferdy.
Pada 8 Julai lalu, beliau ditugaskan untuk membawa Ferdy dan isteri, Putri Candrawathi dari Magelang, Jawa Timur ke kediaman rasmi di Jakarta.
Polis memaklumkan Nopryansyah masuk ke bilik tidur di tingkat satu kediaman itu ketika Putri, 40-an, sedang berehat dan mengganggunya secara seksual ketika Ferdy tiada di rumah.
Putri didakwa menjerit sebelum seorang lagi pengawal peribadi bergegas turun dan berlaku tembakan jarak dekat selepas Nopryansyah dikatakan melepaskan tembakan pertama.
Sumber: Harian Metro |
|