LANGKAWI: Pulau Tuba yang berkeluasan 1,763 hektar persegi bakal menjadi pulau karbon rendah pertama di negara ini, akhir tahun ini.
Projek perintis itu bakal direalisasikan menerusi kolaborasi dan kesepakatan antara kerajaan negeri dan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata penetapan baharu itu dibuat memandangkan jumlah kenderaan yang ada di pulau itu tidak banyak.
"Pulau ini tidak banyak kenderaan dan kebanyakan penduduk hanya ada motosikal, jadi ia memudahkan penukaran motosikal berenjin kepada elektrik.
"Hasrat kita menjelang akhir tahun ini, semua motosikal berenjin yang dimiliki penduduk akan diganti sepenuhnya dengan motosikal elektrik," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke pulau itu, hari ini.
Yang turut hadir, Pegawai Daerah Langkawi, Datuk Abdul Gafar Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib.
Muhammad Sanusi berkata, motosikal berenjin yang ada di Pulau Tuba akan menjalani proses tukar beli yang dikendalikan KASA dalam tempoh terdekat.
"Beza harga selepas penukaran motosikal berenjin kepada elektrik dianggarkan di antara RM1,000 dan RM2,900 dan kos itu akan ditanggung oleh KASA.
"Pelaksanaan program pulau karbon rendah di Pulau Tuba mengambil model Pulau Jeju di Korea Selatan dan beberapa bandar besar di Eropah," katanya.
Sebelum ini, pada 11 September 2015, media pernah melaporkan, kerajaan yang ketika itu diketuai Datuk Seri Najib Razak mengumumkan memilih Pulau Langkawi dijadikan pulau karbon rendah yang pertama di negara ini.
Mengulas isu bekalan air terawat di Pulau Tuba pula, Muhammad Sanusi berkata, kolam takungan di loji air di pulau itu akan dinaik taraf oleh KASA dalam tempoh terdekat.
"Projek naik taraf tebing kolam membolehkan kolam takungan terbabit menyimpan air mentah yang lebih banyak, sekali gus mampu menyediakan bekalan air terawat mencukupi kepada 3,000 penduduk," katanya.