View: 992|Reply: 1
|
[Tempatan]
Pen 'merdeka' saksi sejarah negara
[Copy link]
|
|
Pen 'merdeka' saksi sejarah negara
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/pen_merdeka2_1660808207.jpg)
Pemilik Collectible Museum Kelantan, Ahmad Shaifullah Sulaiman menunjukkan pen yang pernah digunakan dalam majlis pemeteraian Perjanjian Kemerdekaan 1957 dan gambar membabitkan raja dan sultan Melayu dalam majlis itu. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
KOTA BHARU: Rasa kagum dan sebak bersilih ganti apabila melihat pen hitam dengan separuh daripadanya bersalut keemasan yang pernah menjadi 'saksi' dalam sejarah pemeteraian perjanjian kemerdekaan negara, dipelihara dengan baik hingga kini.
Pen berkenaan adalah yang digunakan Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Putra Jamalullail Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail ketika Majlis Menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957.
Pada majlis itu, sembilan sultan dan raja Melayu termasuk dari Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor menandatangani perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dengan wakil Ratu England iaitu Pesuruhjaya Tinggi British ke Tanah Melayu Sir Donald MacGillivray di King's House, Kuala Lumpur.
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/pen_merdeka_1660808538.jpg)
Pen yang digunakan dalam majlis pemeteraian Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 yang dipamerkan di Collectibles Museum Kelantan. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Menurut pemilik Collectibles Museum Kelantan, Ahmad Shaifullah Sulaiman, pen yang ditempah khas itu disimpan Almarhum Raja Perlis memandangkan baginda adalah peminat koleksi pen.
Pen berjenama Parker keluaran 1957 itu ditempah dari Amerika Syarikat yang dibuat khusus bagi majlis tandatangan kemerdekaan.
"Pen itu kemudiannya diserahkan kepada seorang anak baginda iaitu Datuk Seri Diraja Sharifah Azwan yang kemudian berkahwin dengan kerabat diraja Kelantan dengan gelaran Yang Amat Mulia Puan Laksamana Kelantan.
"Tengku Puan Laksamana Kelantan kemudiannya meletakkan pen ini di bawah jagaan saya bagi dipamerkan di Collectibles Muzium sejak 2016," katanya ditemui di muzium itu di Taman Koperatif Tanjung Chat, Jalan Wakaf Mek Zainab di sini.
Shaifullah berkata, apa yang menarik, penutup pen itu hanya pernah dibuka Tengku Puan Laksamana Kelantan sahaja bagi menjaga keutuhannya.
"Tengku Puan Laksamana Kelantan pernah hendak memasukkan semula dakwat pen ini namun membatalkan hasrat bagi mengekalkan keaslian yang ada pada pen ini, termasuk tidak mengecat semula atau melakukan apa-apa perubahan ada fizikal pen ini," katanya.
Pada pen berkenaan, turut dipahat perkataan 'first edition' selain di badan pen juga ditempa perkataan 'Federation of Malaya Agreement 1957'.
Pen berdakwat hitam itu juga berbentuk fizikal sama seperti pen Parker 61 yang digunakan Allahyarham Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk menandatangani dokumen kemerdekaan.
Shaifullah berkata, selain sejarah yang ada pada pen itu, pihaknya tidak dapat memastikan sama ada pen berkenaan hanya ada satu atau sembilan batang kerana ketika majlis tandatangan, direkodkan sembilan raja dan sultan menandatangani perjanjian itu.
"Setakat apa yang dimaklumkan, beberapa kerabat memaklumkan tidak mempunyai koleksi pen itu sehingga ada yang menawarkan mahu membeli pen ini namun ditolak Tengku Puan Laksamana Kelantan kerana pen ini adalah kenangan bersama Allahyarham bapa," katanya.
Beliau mempelawa orang ramai yang ingin melihat secara dekat pen bersejarah itu dengan berkunjung ke Collectibles Museum.
Selain pen merdeka, Collectibles Meseum turut menempatkan lebih 40,000 koleksi peribadi keluarga Tengku Puan Laksamana Kelantan dan Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Ibni Almarhum Sultan Ibrahim. Antaranya koleksi kipas tangan, keris, barangan antik, figura dan model kenderaan seperti kereta serta kapal.
Sumber:https://www.bharian.com.my/berit ... aksi-sejarah-negara
|
|
|
|
|
|
|
| |
|