Pendang: Sebuah bilik asrama yang menempatkan 12 pelajar lelaki Maahad Tahfiz Al Abidin , Jalan Jenun di sini musnah dalam kebakaran hari ini.
Bagaimanapun kesemua pelajar berusia antara 12 hingga 17 tahun berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian sekitar jam 10 yang menyaksikan bangunan asrama itu musnah 80 peratus.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima laporan berhubung kebakaran itu pada jam 10.28 pagi.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang tiba di lokasi untuk memadam kebakaran itu.
"Setibanya di lokasi, didapati kebakaran itu berjaya dipadam oleh penghuni asrama dengan menggunakan air paip berhampiran.
"Tindakan pasukan Bomba membuat pemantauan untuk memastikan kebakaran dipadam sepenuhnya dan keadaan selamat," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohamadul Ehsan berkata, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu.
Beliau berkata, setakat ini punca kejadian dan kerugian dalam kebakaran itu masih dalam siasatan.