Seorang lelaki warga asing putus kaki kiri digilis lori ketika menunggang motosikal di Kilometer 111, Jalan Ipoh - Butterworth berhampiran Batu 8 di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, kejadian kira-kira jam 9 pagi itu berlaku selepas motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang mangsa berusia 35 tahun dipercayai hilang kawalan.
Kemalangan membabitkan motosikal dan lori menyebabkan seorang penunggang mengalami kecederaan parah. - Foto ihsan pembaca
Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal dan lori berkenaan dalam perjalanan dari arah Bagan Serai menghala ke Parit Buntar.
"Apabila motosikal berada bersebelahan dengan tayar belakang kiri kenderaan berat terbabit, tiba-tiba motosikal mangsa hilang kawalan lalu terjatuh.
"Lori terbabit tidak sempat mengelak telah menggilis mangsa menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah," katanya.
Mazuki berkata, mangsa yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Parit Buntar.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Sinar Harian |